Sabtu, 19 November 2016 | 12:39am

Teksi tambang 10 sen bantu pesakit miskin

PUCHONG : Pengalamannya yang pernah dibawa oleh ayahnya menaiki basikal ke hospital ketika di kampung menyebabkan seorang ahli perniagaan berketad membantu golongan miskin bandar yang tidak mampu mendapatkan rawatan kerana masalah pengangkutan.

Kuan Chee Heng, 53, berkata ketika itu beliau sakit dan ayahnya tidak ada pilihan dengan menghantarnya ke hospital dengan basikal yang agak jauh kerana tidak mampu mendapatkan pengangkutan awam.

Beliau berkata berdasarkan pengalamannya itu, hari ini beliau melancarkan projek kebajikan terbaharunya iaitu "teksi 10 sen" yang menyediakan pengangkutan bagi orang miskin di bandar raya ini, khususnya yang berpenyakit kronik untuk ke hospital dengan tambang hanya 10 sen sehala.

Katanya, perkhidmatan itu buat masa ini akan memberi fokus kepada sekitar penempatan rumah Program Perumahan Rakyat (PPR) Bukit Jalil dan Pangsapuri Enggang di Bukit Kinrara 6 di sini.

CHEE Heng (kiri) melihat kereta yang dibaiki oleh mekanik kereta S Narayanasamy yang akan digunakan untuk program "teksi 10 sen" untuk membantu penduduk miskin ke hospital. Foto Rosela Ismail

Ketika ditemui di pejabatnya di sini, Kuan berkata, beliau mendapat idea mewujudkan perkhidmatan berkenaan selepas menerima banyak permintaan daripada pesakit golongan itu yang tidak memiliki pengangkutan untuk ke hospital.

Katanya, ketiadaan kemudahan itu menyebabkan mereka tidak dapat menerima rawatan sewajarnya bagi menangani penyakit yang dihidapi.

"Adalah amat menyedihkan apabila mereka terpaksa melupakan rawatan yang perlu diambil kerana tidak mampu untuk menggunakan sistem pengangkutan yang ada.

"Bukan saja mereka tidak mampu membayar untuk pengangkutan yang lebih selesa seperti teksi, ada antara pesakit itu tidak mampu bergerak jauh daripada kawasan kediaman kerana keadaan mereka sendiri," katanya.

ANTARA kereta yang akan digunakan sebagai "teksi 10 sen". - Foto Rosela Ismail

Beliau menarik perhatian, ada seorang pesakit kronik yang kakinya sudah hampir berulat terpaksa menanggung kesakitan akibat perlu berjalan jauh ke perhentian bas semata-mata untuk pergi ke hospital.

"Pesakit itu tidak mampu untuk menaiki teksi kerana tambang yang mahal. Cara yang ada cuma menaiki bas tetapi untuk tujuan itu, dia perlu berjalan jauh ke perhentian bas sedangkan kakinya dalam keadaan yang amat serius," katanya.

Beliau berkata, setakat memiliki dua Proton Iswara, sebuah Toyota Avanza dan sebuah ambulans untuk perkhidmatan Teksi 10 Sen itu.

Semua kenderaan itu jelas beliau, dibawa ke bengkel untuk dibaik pulih bagi memastikan ia benar-benar selesa dan memenuhi keperluan pesakit.

CHEE Heng mencari pemandu yang mahu bersamanya membantu dalam projek "teksi 10 sen" - Foto Rosela Ismail

"Saya masih mencari individu yang sudi berkhidmat sebagai pemandu bagi menggerakkan semua kenderaan itu. Setakat ini saya hanya mempunyai seorang pemandu dan kita masih mencari sekurang-kurangnya tiga pemandu lagi," katanya.

Kuan berkata, beliau yakin projek amal itu akan memberi manfaat kepada ramai pesakit, termasuk warga emas yang sudah uzur dan perlu mendapatkan rawatan berkala di hospital.

Kuan berkata sehingga ini beliau memiliki empat kenderaan, termasuk sebuah ambulans yang disumbangkan oleh beberapa ahli perniagaan.

"Setakat ini saya memiliki dua Proton Iswara, sebuah Toyota Avanza dan sebuah ambulan untuk perkhidmatan Teksi 10 Sen ini," katanya.

"Saya masih mencari individu yang sudi berkhidmat sebagai pemandu bagi menggerakkan semua kenderaan itu. Setakat ini saya hanya mempunyai seorang pemandu dan kita masih mencari sekurang-kurangnya tiga pemandu lagi," katanya.

PENGALAMAN hidup miskin ketika kanak-kanak membuatkan Chee Heng bertekad membantu orang miskin di Kuala Lumpur. - Foto Aizuddin Saad
KUAN Chee Heng. - Foto Aizuddin Saad
Berita Harian X