Sabtu, 19 November 2016 | 11:44am

Universiti perlu bantu bangunkan ekonomi digital - Sultan Nazrin


SULTAN Perak, Sultan Nazrin Muizzudin Shah diiringi Menteri Besar, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir berangkat ke Majlis Istiadat Konvokesyen Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) ke 9 di Dewan Jubli Perak, Kuala Kangsar. - Foto L Manimaran

KUALA KANGSAR: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, bertitah universiti wajib membantu negara untuk berupaya aktif dalam ekonomi digital dengan memenuhi peranan sebagai sumber inovasi dan harta intelek, pengurus berkebolehan dan hab kolaborasi.

Baginda bertitah, universiti juga harus mengilmukan tenaga kerja masa hadapan supaya bersedia untuk berinovasi dan berdaya juang dalam dunia digital.

"Universiti mempunyai peranan penting untuk membantu industri menakhodai transformasi digital dengan menghadirkan sejumlah besar pengetahuan dan harta intelek serta perlu mencetuskan inovasi dan menghadapi teknologi secara berdepan untuk kekal relevan.

"Universiti juga harus mempersiapkan pelajar agar berdaya tahan dan berkembang maju dalam dunia yang menyaksikan perubahan teknologi, yang tidak sahaja menghasilkan pekerjaan baharu, bahkan mungkin menghapuskan pekerjaan sedia ada," titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah demikian pada Istiadat Konvokesyen Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) ke-9 di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Naib Canselor USAS, Prof Tan Sri Dr Nordin Kardi.

Baginda yang juga Canselor USAS bertitah, adalah sukar untuk mendidik pelajar supaya lebih bersedia menghadapi alam pekerjaan jika universiti tiada kefahaman jelas mengenai corak pekerjaan masa hadapan.

Ini kerana, titah Sultan Perak, fungsi pengajaran dan pembelajaran di universiti telah mengalami perubahan secara ketara, akibat pendigitan.

Titah baginda, majikan harus mengenal pasti kemahiran yang diperlukan, manakala universiti pula mengembangkan kurikulum dengan sewajarnya.

"Dengan kata lain, universiti sedang berdepan cabaran untuk menghasilkan pelajar yang bersedia menghadapi pekerjaan yang mungkin belum wujud pada masa ini dan menawarkan pengalaman pendidikan yang sinonim dengan dunia 'anak kelahiran digital'.

"Untuk melahirkan generasi pelajar yang berminda digital, universiti perlu beradaptasi secara fungsi dengan persekitaran yang berubah di samping aspek formal pendidikan untuk menghasilkan tenaga kerja dan masyarakat yang cerdas, tangkas, inovatif, dan berdaya tahan.

"Malah universiti juga mempunyai peranan penting sebagai penghubung unggul dalam ekosistem digital," titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah, universiti perlu melakukan anjakan paradigma daripada kewujudannya sebagai institusi bersendirian kepada peserta aktif dan penting dalam ekosistem digital yang memerlukan kerjasama minda dan perkongsian terbuka.

Ia, titah baginda, membolehkan universiti dapat membantu, mencipta semula masa hadapan dan beraksi bukan sahaja sebagai penyokong, tetapi juga sebagai pencetus teori dan teknologi baharu.

Berita Harian X