Sabtu, 19 November 2016 | 5:28pm

Usaha 11 tahun graduan OKU berhasil

KUALA NERUS: Kesusahan hidup dan status sebagai orang kelainan upaya (OKU) tidak menghalang Mazira Alias Mohamad Yusoff, 30, menggenggam segulung ijazah pada Konvokesyen ke-14 Universiti Malaysia Terengganu (UMT), hari ini.

Biarpun terpaksa berniaga air tebu dan pisang goreng selepas tamat Sijil Persekolahan Tinggi Malaysia (STPM) pada 2005 untuk mengumpul wang bagi melanjutkan pengajian ke universiti, ia menjadi penguat semangat buat Mazira sehingga akhirnya berjaya menggenggam Ijazah Sarjana Muda Kaunseling.

"Saya tamat STPM pada 2005 dan mula berniaga untuk mengumpul wang bagi mencapai cita-cita melanjutkan pengajian ke universiti. Selepas berjaya mengumpul RM3,000, saya memohon UMT pada 2011 dan Alhamdulillah diterima masuk.

"Malang tidak berbau apabila saya hilang empat jari akibat terkena mesin tebu. Disebabkan itu, wang yang saya kumpul untuk kos pengajian terpaksa digunakan untuk rawatan dan perubatan. Saya dikategorikan OKU selepas mengalami kecacatan tangan," katanya sayu.

Mazira berkata, beliau gembira kerana usaha dan penantiannya selama 11 tahun untuk menggenggam ijazah akhirnya berbaloi dan dapat menggembirakan kedua orang tuanya.

"Bapa tiri, Mohd Yusoff Lee, 76, tidak dapat bekerja dan bercucuk tanam lagi untuk menampung keluarga kerana uzur. Disebabkan itu saya perlu bekerja untuk mencari wang menampung kos pengajian.

"Walaupun hidup susah, saya tidak pernah melupakan hasrat untuk melanjutkan pengajian ke universiti. Malah, bekas guru di sekolah juga sering memberi galakan.

"Ketika menuntut di UMT, saya juga membuat kerja sambilan bagi menampung perbelanjaan di sini, termasuk bekerja di kedai dobi dan menjadi pengawal keselamatan," katanya yang turut menerima bantuan zakat UMT.

Mazira antara 2,806 graduan menerima ijazah masing-masing melalui enam sidang majlis konvokesyen selama tiga hari bermula hari ini hingga 21 November.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X