Khamis, 4 Disember 2014 | 2:03pm

Agong kurnia 205 pingat darjah kepahlawanan ATM


YANG di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah, berkenan mengurniakan Darjah Panglima Gagah Angkatan Tentera (PGAT) kepada Panglima Tentera Udara, Jeneral Datuk Seri Roslan Saad pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kepahlawanan Angkatan Tentera Tahun 2014 di Istana Negara di sini, hari ini. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah, hari ini berkenan mengurniakan darjah Panglima Gagah Angkatan Tentera (PGAT) kepada Panglima Tentera Udara, Jeneral Datuk Seri Roslan Saad.

Roslan mendahului senarai 205 penerima pada sesi pertama istiadat pengurniaan darjah kepahlawanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 2014 di Istana Negara di sini.

Turut berangkat, Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Haminah.

Hadir sama, Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Zulkifeli Mohd Zain; Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor; Timbalan Panglima Tentera Laut, Laksamana Madya Datuk Seri Panglima Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin; dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Dr Ismail Ahmad.


YANG di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah, berkenan mengurniakan Darjah Panglima Gagah Angkatan Tentera (PGAT) Kehormat kepada Pemerintah Tentera Udara Diraja Brunei, Brig General, Datuk Seri Pahlawan Wardi Abd Latip pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kepahlawanan Angkatan Tentera Tahun 2014 di Istana Negara di sini, hari ini. - Foto BERNAMA

Tuanku Abdul Halim turut mengurniakan darjah PGAT Kehormat kepada dua pemimpin tentera negara asing iaitu Ketua Pemerintah Tentera Darat Myanmar, Jeneral Soe Win dan Pemerintah Tentera Udara Diraja Brunei, Brig Jeneral (U) Datuk Seri Panglima Wardi Abd Latip.

Manakala Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir menerima darjah Pahlawan Angkatan Tentera Kehormat.

Istiadat pengurniaan melibatkan 17 penerima darjah Pahlawan Setia Angkatan Tentera, 19 penerima darjah Pahlawan Angkatan Tentera, 103 penerima darjah Kesatria Angkatan Tentera dan 63 penerima darjah Bentara Angkatan Tentera.

- BERNAMA

Berita Harian X