Sabtu, 19 November 2016 | 9:54pm

Pemandu bas parah ditetak

NIBONG TEBAL: Seorang pemandu bas kilang parah akibat ditetak lima lelaki bersenjata pisau pemotong dalam kejadian berdekatan Tol Bukit Tambun, di sini, petang tadi.

Dalam kejadian jam 6.30 petang itu, mangsa yang berusia 52 tahun dalam perjalanan menghantar pekerja kilang sebelum ditahan lima suspek yang menaiki kereta.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS), Superintendan Shafee Abd Samad, berkata lima lelaki berkenaan naik ke atas bas dan menetak mangsa beberapa kali.

"Ketika kejadian, terdapat pekerja kilang di dalam bas yang sempat merakamkan kejadian serangan berkenaan.

"Pemandu bas berkenaan mengalami kecederaan di kepala, lengan dan perut akibat ditetak suspek," katanya dalam kenyataan, malam tadi.

Shafee berkata, mangsa yang parah dikejarkan ke Hospital Pulau Pinang (HPP) berikutan perlu menjalani pembedahan jantung dan kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

Berita Harian X