Ahad, 20 November 2016 | 9:04am

Dua tonggak PSG cedera ketika benam Nantes


REAKSI pemain Paris St Germains (PSG), Angel Di Maria menjayakan kejayaan membolosi gawang Nantes pada perlawanan Ligue 1, awal pagi tadi. - Foto REUTERS

PARIS: Dua tonggak Paris St Germain (PSG) ditimpa kecederaan menjelang pertembungan penting Liga Juara-Juara menentang Arsenal ketika mencatat kemenangan 2-0 ke atas Nantes dalam kempen Ligue 1, awal pagi tadi.

Juara Perancis itu yang dijadual berkunjung ke laman Arsenal, Emirates pada Khamis ini bagi pemburuan tempat teratas Kumpulan A kini berada di kedudukan kedua Ligue 1 selepas mengumpul 29 mata daripada 13 perlawanan, berkongsi mata dengan pendahulu Monaco yang memiliki kelebihan jaringan.

Kelab di tangga ketiga, Nice yang juga mengumpul 29 mata akan merampas kembali kedudukan teratas jika berjaya mengelak kekalahan ketika bertemu St Etienne, hari ini.

Perancang Argentina, Angel Di Maria meledak gol pertama tuan rumah yang juga gol pertamanya di Ligue 1 musim ini pada minit ke-13 sebelum dikeluarkan 10 minit sebelum babak pertama berakhir selepas mengalami kecederaan paha.

Jese kemudian melengkapkan gol kemenangan menerusi penalti pada lewat permainan.

Rakan senegara Di Maria, Javier Pastore yang dimasukkan buat pertama kali selepas pulih kecederaan betis yang dihadapinya pada September lalu juga kemungkinan mengalami kecederaan lutut pada masa kecederaan.

PSG ketika ini sudah kehilangan pemain tengah berpengaruh, Adrien Rabiot bagi pertemuan dengan Arsenal selepas pemain kebangsaan Perancis itu berdepan kecederaan ketiga tugasan antarabangsa.

"Kami mengeluarkannya (Di Maria) sebagai langkah berjaga-jaga, saya berharap dia akan sembuh pada Rabu (awal pagi Khamis)," kata jurulatih PSG, Unai Emery yang berharap kecederaan Pastore tidak serius.

"Saya berharap ia kecederaan yang kecil. Kami akan mengetahuinya dengan lebih lanjut selepas dia bertemu doktor." - Reuters

108 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »