Ahad, 20 November 2016 | 12:04pm

UTeM sasar penarafan lima bintang

NAIB Canselor Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Prof Datuk Dr Shahrin Sahib. - Foto Rasul Azli Samad

MELAKA: Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) menyasarkan penarafan lima bintang tahun depan melalui peningkatan penyelidikan dan penerbitan jurnal yang dijalankan pelajar program pasca siswazah.

Naib Canselornya, Prof Datuk Dr Shahrin Sahib, berkata UTeM meraih taraf satu bintang pada tahun 2007, diikuti dua bintang pada tahun 2012 sebelum naik kepada tiga bintang tahun lalu berdasarkan kriteria tertentu.

"Pencapaian ini adalah hasil penyelidikan dijalankan dan penilaian kriteria berasaskan elemen penyelidikan seperti jumlah geran diterima serta memorandum perjanjian di dalam dan luar negara.

"Penilaian turut dibuat di peringkat kementerian terhadap jumlah dan kualiti penerbitan yang mana ia bersifat telus dan gus UTeM mencapai pemarkahan lebih 50 peratus," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Malam Penghargaan UTeM bersama media, yang turut dihadiri EXCO Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi, Teknologi Hijau dan Inovasi Melaka, Datuk Wira Md Yunos Husin, di sini, malam tadi.

Shahrin berkata, usaha dan pencapaian itu membuktikan pelajar UTeM mampu menyelesaikan masalah kejuruteraan dan perihal setempat menerusi latihan diberikan.

"Tahun ini, kita melahirkan 32 graduan pasca siswazah pada Majlis Konvokesyen UTeM ke-12 minggu lalu. Walaupun jumlahnya kecil, ia memberi impak tinggi selain menjana tenaga kerja mahir," katanya.

Berita Harian X