Ahad, 20 November 2016 | 2:24pm

Remaja maut dibelasah penghuni senior

KETUA Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin. - Foto Sharul Hafiz Zam

ALOR SETAR: Seorang remaja lelaki berusia 17 tahun yang menghuni pusat pemulihan akhlak di Pokok Sena, di sini, meninggal dunia selepas parah dipercayai dipukul sekumpulan penghuni senior, malam semalam.

Kejadian disedari apabila mangsa tidak bangun untuk solat Subuh pagi tadi, sebelum pemeriksaan dilakukan warden bertugas mendapati remaja itu tidak sedarkan diri.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin, mengesahkan kejadian itu dan mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini, untuk bedah siasat.

Mengulas lanjut, katanya pemeriksaan dilakukan pihak HSB menemui kesan cedera pada kepala dan perut mangsa, dipercayai akibat dipukul dengan objek tumpul.

"Susulan itu polis menahan 10 penghuni senior di pusat pemulihan akhlak terbabit yang berusia antara 14 hingga 17 tahun, yang disyaki mempunyai kaitan dengan kejadian itu.

"Sehingga kini kes masih dalam siasatan dan kita klasifikasikan kejadian itu sebagai kes bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.

Berdasarkan maklumat, mangsa yang berasal dari Langkawi dimasukkan ke pusat pemulihan itu sejak 11 November lalu, kerana masih dalam tahanan reman selepas terbabit kes pecah rumah di Langkawi.

Berita Harian X