Ahad, 20 November 2016 | 2:29pm

Bella Dally nafi berbadan dua


NAZIM Othman dan Bella Dally.

KUALA LUMPUR: Gara-gara memuat naik video berkaitan kehamilan secara rawak di laman sosial, Nazim Othman dihujani ucapan tahniah daripada peminat.

Masing-masing beranggapan isteri pelakon itu, Bella Dally, sudah pun berbadan dua. Pasangan pelakon ini berkahwin pada 10 September lalu.

Bella yang dihubungi BH Online hari ini bagaimanapun menafikan dirinya mengandung.

"Saya belum lagi hamil. Namun begitu, doakan semoga ia menjadi kenyataan, Insya-Allah," katanya ringkas menangkis tanggapan ramai berkenaan.

Bercerita mengenai kehidupannya selepas berumah tangga, Bella mengakui kesibukan Nazim menjayakan drama Lara Aishah membuatkan masing-masing jarang dapat meluangkan masa bersama.

"Selalunya, dia keluar bekerja pada awal pagi dan pulang pula lewat malam. Jadi memang sejak kebelakangan ini, kalau hendak meluangkan masa berkualiti bersama-sama seperti keluar berjalan mahupun makan berdua, ia agak terbatas. Kalau dia diberikan cuti beberapa hari, saya pula secara kebetulan ada kerja yang perlu dilunaskan.

"Bagaimanapun, penggambaran Lara Aishah akan tamat tidak lama lagi. Jadi, mungkin kami mempunyai sedikit ruang untuk bersama.

"Dek kesibukan masing-masing jugalah sampai sekarang kami belum sempat berbulan madu. Tetapi insya-Allah, esok saya dan suami akan terbang ke Singapura. Ia boleh dianggap sebagai bulan madu mini kami berdua," katanya.

Dalam perkembangan lain, Bella akan muncul dengan filem ketiganya berjudul Desolasi yang akan ditayangkan mulai 8 Disember depan. Diarahkan oleh Syafiq Yusof, filem terbitan Skop Productions itu turut menampilkan Syamsul Yusof, Pekin Ibrahim dan Datuk Jalaluddin Hassan.

"Sebelum ini, saya pernah beberapa kali berlakon drama terbitan syarikat milik Datuk Yusof Haslam. Desolasi pula menjadi filem pertama saya bersama mereka.

"Gementar juga sebenarnya bergandingan dengan nama besar seperti Syamsul. Begitupun beliau seorang yang sangat menyenangkan. Saya sendiri berasa amat bertuah diberikan peluang berlakon dalam filem yang dilihat cukup berkualiti dan unik ini," katanya.

Bella turut berkata, beliau masih menerima undangan berlakon selepas berkahwin, cuma ada yang terpaksa ditolak berikutan watak ditawarkan kurang sesuai manakala sebahagian lagi menjalani penggambaran di lokasi agak jauh.

"Saya memang akan terus berlakon, apatah lagi suami juga tidak pernah menghalang. Saya sendiri sudah biasa berdikari sejak datang ke ibu kota. Saya selesa bekerja untuk mendapatkan pendapatan sendiri," katanya.

Berita Harian X