Ahad, 20 November 2016 | 11:22pm

Edry kekal komposer pendapatan terbanyak


EDRY Abdul Halim. - Foto Nik Hariff Hassan

PETALING JAYA: Pencipta lagu yang juga penyanyi, Edry Abdul Halim, kekal sebagai penerima anugerah Komposer Dengan Pendapatan Terbanyak seperti diumumkan pada majlis Malam Mesra MACP 2016, di sini malam ini.

Edry yang menerima pengiktirafan itu tiga tahun berturut-turut mengetepikan dua calon lain iaitu Datuk M Nasir dan Saari Amri.

Selain itu, anugerah Penulis Lirik Dengan Pendapatan Terbanyak dimenangi oleh Habsah Hassan. Turut dicalonkan dalam kategori itu ialah Juwie dan Loloq.

Sebanyak 10 anugerah disampaikan pada penganjuran edisi ke-21 ini termasuk anugerah khas, Nadi Cipta, yang dimenangi A Ali atau nama sebenarnya Hamdan Atan.

Anugerah disampaikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha, (Perdagangan Dalam Negeri), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Basaruddin Sadali.

Anugerah Komposer Muda Berpotensi pula milik penyanyi Cinta Muka Buku, Najwa Larif.

Anugerah lain seperti Penerbit Tempatan Dengan Pendapatan Terbanyak dimenangi syarikat rakaman milik M Nasir, Luncai Emas Sdn Bhd.

Penerbit Dengan Pendapatan Terbanyak pula dimenangi Universal Music Publishing Sdn Bhd.

Majlis penganugerahan itu anjuran badan kutipan royalti tanah air, Persatuan Perlindungan Hak Cipta Karyawan Muzik (MACP) mengiktiraf ahlinya yang juga pencipta lagu dan penulis lirik tanah air.

Berita Harian X