Isnin, 21 November 2016 | 6:31pm
TIMBALAN Gabenor Bank Negara, Abdul Rasheed Ghaffour. - Foto AntaraPos

3 bidang mampu pacu pertumbuhan kewangan Islam

KUALA LUMPUR: Tiga bidang utama dilihat dapat memacu pertumbuhan kewangan Islam pada masa depan, kata Timbalan Gabenor Bank Negara, Abdul Rasheed Ghaffour.

Tiga bidang utama berkenaan ialah usaha lebih bersepadu dalam kalangan penggiat industri merentasi semua sektor kewangan Islam; perkembangan pesat inovasi oleh institusi kewangan Islam; serta pengukuran sumbangan industri kepada masyarakat dan ekonomi yang lebih meluas.

Beliau berkata, usaha lebih bersepadu dalam kalangan penggiat industri amat diperlukan bagi merealisasikan manfaat industri yang mendukung keadilan sosial, kesaksamaan, kemakmuran ekonomi dan keterangkuman.

"Peserta industri tidak sepatutnya hanya memainkan peranan proaktif untuk meningkatkan kerjasama dalam industri, malah melepasi sempadan sektor.

"Melalui kerjasama ini, penggiat industri bukan saja menyedari kelebihan kewangan Islam, malah menggerakkan trajektori pertumbuhan industri ke peringkat kematangan selanjutnya," katanya dalam ucaptama pada Forum Kewangan Islam Kuala Lumpur ke-13 (KLIFF 2016) di sini, hari ini.

Rasheed berkata, kerjasama dalam industri juga perlu melepasi sektor tradisional kepada industri berdaya saing seperti peruncitan, komunikasi dan minyak dan gas kerana ia membuka serta memperluaskan jangkauan peserta industri dalam membentuk perikatan baharu.

Katanya, gabungan tenaga dengan industri yang lain akan membolehkan kewangan Islam memulakan proses pembelajaran yang lebih cepat dan pada masa sama melengkapkan penggiat industri dengan set kemahiran baharu.

Dari segi perkembangan pesat inovasi di kalangan institusi kewangan Islam, beliau berkata, pelaksanaan inovasi digital membuka peluang baharu kepada peserta industri mencergaskan semula pertumbuhan produktiviti dan meningkatkan kecekapan proses.

"Teknologi pasti akan mentakrifkan semula landskap kewangan masa depan dan teknologi kewangan (FinTech) sedang memesatkan ruang konvensional serta mengubah tingkah laku dan keperluan pengguna," katanya.

Mengenai pengukuran sumbangan industri kepada masyarakat dan ekonomi yang lebih meluas, Rasheed berkata, kewangan Islam mempunyai banyak sumber untuk ditawarkan, mengatasi batasan parameter konvensional membabitkan Kelestarian, Bertanggungjawab dan Kesan Pelaburan (SRI) serta pertimbangan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG).

Katanya, penjajaran semula jadi antara kewangan Islam dan SRI sudah wujud, berlandaskan prinsip keadilan; kesaksamaan; dan etika yang tertanam dalam kewangan Islam yang dikaitkan dengan kesejahteraan sosial rakyat.

"Memandangkan nilai teras yang sama, terdapat peluang amat besar bagi kewangan Islam untuk memperluaskan portfolio pelaburnya bagi mengakses dana SRI global yang mencecah lebih AS$3 trilion," katanya.

Berita Harian X