Isnin, 21 November 2016 | 9:27pm

Indonesia beri amaran kepada perancang bantahan

JAKARTA: Pihak berkuasa Indonesia memberi amaran kepada kumpulan konservatif Islam supaya tidak mengadakan perhimpunan bantahan bulan depan yang mereka percaya memiliki agenda tersembunyi terhadap kerajaan.

Perhimpunan itu dirancang di Jakarta pada 2 Disember depan bagi menuntut penahanan gabenor beragama Kristian yang didakwa menghina Islam.

Ketua Polis Nasional, Jeneral Tito Karnavian, dan Ketua Tentera, Jeneral Gatot Nurmantyo, dalam sidang media hari ini, berkata mereka menerima maklumat dipercayai mengenai kemungkinan pembelotan di sebalik perhimpunan itu.

Menurut Tito, mereka merancang menggerakkan penunjuk perasaan menduduki bangunan Parlimen sebagai taktik untuk menggulingkan pentadbiran Presiden Joko Widodo.

Tuduhan menghina agama ke atas gabenor ibu kota ini, Basuki 'Ahok' Tjahaja Purnama yang juga sekutu Jokowi, menguatkan tentangan seteru politik presiden berkenaan. - AP

Berita Harian X