Selasa, 22 November 2016 | 1:05pm

Maria Chin fail habeas corpus cabar penahanan

MARIA Chin Abdullah. - Foto AFP

KUALA LUMPUR: Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0), Maria Chin Abdullah, memfailkan permohonan habeas corpus di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini bagi mencabar penahanannya mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA 2012).

Maria Chin, 60, selaku pemohon, menamakan Ketua Unit Siasatan, Jabatan Jenayah Terkelas di Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Superintendan Tham Lai Kuan; Ketua Polis Negara, Menteri Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia sebagai responden.

Permohonan itu difailkan menerusi Tetuan Daim & Gamany yang diwakili peguam Datuk S Ambiga di sini, hari ini.

Berdasarkan permohonan itu, perintah supaya writ habeas corpus dikeluarkan bagi pemohon dibebaskan serta-merta seterusnya tidak lagi ditangkap atau ditahan semula.

Afidavit yang diikrarkan anak sulung Maria Chin, Azumin Mohamad Yunus, 23, antara lain menyatakan penahanan ibunya mengikut SOSMA 2012 adalah tidak sah dan melanggar undang-undang.

Antara alasannya adalah tangkapan mengikut Seksyen 124C Kanun Keseksaan terkeluar daripada objektif Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan.

Azumin berkata, tangkapan dan siasatan responden juga tidak sah dan bercanggah dengan Seksyen 4(3) SOSMA 2012 iaitu seseorang tidak boleh ditangkap mengikut kepercayaan atau aktiviti politik.

Pada 18 November lalu, Maria Chin ditahan di pejabatnya di Unit A-2-8, Blok A, Pusat Perniagaan Avenue, Jalan Sungai Jernih 8/1, Petaling Jaya, di sini.

Berita Harian X