Khamis, 4 Disember 2014 | 8:00pm

Penunggang motosikal berkuasa tinggi maut nahas di Kuantan

KEMALANGAN membabitkan sebuah motosikal berkuasa tinggi bertembung dengan kenderaan pelbagai guna (MPV) di Kilometer 33, Jalan Kuantan-Kemaman, hari ini. - Foto Emel
KEMALANGAN membabitkan sebuah motosikal berkuasa tinggi bertembung dengan kenderaan pelbagai guna (MPV) di Kilometer 33, Jalan Kuantan-Kemaman, hari ini. - Foto Emel

KUANTAN: Seorang penunggang motosikal berkuasa tinggi maut selepas bertembung dengan kenderaan pelbagai guna (MPV) yang secara tiba-tiba memasuki laluannya di Kilometer 33, Jalan Kuantan-Kemaman, berhampiran jambatan Sungai Baging, dekat sini, petang tadi.

Kejadian kira-kira jam 4 petang menyebabkan mangsa, Mohd Abd Mubin Mohamed, 40 , dari Kampung Darat Sungai Ular, dekat sini, maut di tempat kejadian akibat parah di kepala dan anggota badan.

Pemangku Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Pahang, Deputi Superintendan Mohamad Noor Yusof Ali, berkata kenderaan MPV yang dipandu seorang lelaki dari arah Kemaman, Terengganu menuju ke bandar ini secara tiba-tiba hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan.

Mangsa yang menunggang motosikal Kawasaki Z800 gagal mengelak MPV terbabit sebelum kedua-duanya bertembung.

"Mangsa yang juga bapa kepada empat anak meninggal dunia di tempat kejadian sebelum mayatnya di hantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk tindakan lanjut," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Berita Harian X