Selasa, 22 November 2016 | 3:58pm

Syamsul dedah alasan pilih Mawi rakan duet


MAWI dan Syamsul Yusof. - Foto Hasriyasyah Sabudin

KUALA LUMPUR: Tahun 2016 nampaknya terus menjadi detik gemilang buat artis pelbagai bakat, Syamsul Yusof, 32.

Bukan sekadar menyaksikan filemnya, Munafik meledak di pawagam apabila menemui penonton sekitar Februari lalu, malah ia turut dinobat Filem Terbaik Nasional pada Festival Filem Malaysia ke-28 selain dirinya sendiri diangkat sebagai Pengarah Terbaik.

Pada Anugerah Skrin 2016 baru-baru ini pula, sekali lagi Syamsul menjulang trofi Pengarah Terbaik (Filem).

Sebelum itu, lagu tema filem berkenaan, Kalah Dalam Menang, yang dinyanyikannya bersama Mawi turut berjaya melangkah ke pentas Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-31 yang akan berlangsung Januari tahun depan.

Gandingan sulung mereka itu nyata menarik perhatian peminat dan juri, malah pada masa sama ramai yang tertanya-tanya mengapa pengarah, pelakon dan penulis skrip itu memilih juara Akademi Fantasia musim ketiga berkenaan sebagai rakan duet dalam lagu terbabit.

Sebelum ini, suami kepada Puteri Sarah Liyana itu pernah merakamkan beberapa lagu termasuk Apakah Semuanya Itu yang juga runut bunyi Evolusi KL Drift, Ya Robbi (Khurafat) dan Hingga Hujung Dunia (Aku Bukan Tomboy).

Baru-baru ini, menerusi laman Instagramnya, Syamsul akhirnya mendedahkan alasan beliau memilih penyanyi Aduh Saliha untuk projek duet berkenaan.

"Wahai sahabatku, jika ditanya mengapa aku bersungguh-sungguh memilihmu untuk berduet denganku, jawapannya ialah kerana perjuangan dan Islam. Moga ada habuan kita di sana.

"Terakhir juga, 'lu' (kau) memang World, Wi (panggilan pendek nama Mawi)," tulisnya mengenai penyanyi yang memang terkenal dengan tagline World ketika bersaing dalam program realiti terbabit, kira-kira 11 tahun lalu.

Selepas Kalah Dalam Menang, gandingan menjadi itu tidak terhenti di situ apabila Mawi dan Syamsul sekali lagi bekerjasama, kali ini menerusi duet kedua mereka berjudul Bukan Propaganda. Lagu itu akan menjadi runut bunyi filem Desolasi yang akan menemui penonton di pawagam mulai 8 Disember ini.

Menampilkan Syamsul, Bella Dally, Pekin Ibrahim dan Datuk Jalaluddin Hassan sebagai bintang, naskhah arahan Syafiq Yusof itu diterbitkan oleh syarikat Skop Production.

Lagu Bukan Propaganda dicipta oleh Syamsul sendiri dan diterbitkan oleh Hafiz Hamidun.

Berita Harian X