Selasa, 22 November 2016 | 4:29pm

Mohon kesan waris tiga kanak-kanak - JKM

KUALA LUMPUR: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kuala Lumpur meminta bantuan orang ramai mengesan waris tiga kanak-kanak bagi urusan perlindungan mengikut Akta Kanak-kanak 2001.

Kes pertama membabitkan seorang kanak-kanak perempuan berusia dalam lingkungan setahun yang ditemui merayau di belakang Pasar Borong Selayang berhampiran tempat simpanan tong ikan, 15 Oktober lalu.

Timbalan Pengarah JKM Kuala Lumpur, Liah Pariuk, berkata orang awam yang menemui kanak-kanak tanpa nama itu menyerahkannya kepada pihak polis sebelum dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL).

"Ketika ditemui, kanak-kanak itu memakai baju berwarna putih dan berseluar belang hitam merayau bersendirian.

"Kes akan disebut semula di Mahkamah Bagi Kanak-kanak Kuala Lumpur pada 14 Disember ini," katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Liah berkata, kes kedua membabitkan seorang kanak-kanak lelaki dikenali sebagai Muhamad Nur Iman Abdullah, 8, yang ditinggalkan ibunya di Rumah Perlindungan Dar Assaadah Kuala Lumpur sejak 2013.

Katanya, ibu kanak-kanak itu dikenali sebagai Noor Idayu Abdul Razak, 30, yang beralamat terakhir di No 842 Taman Dato' Shahbandar, Ampangan, Seremban, Negeri Sembilan.

"Kanak-kanak ini dirujuk untuk penempatan apabila ibu kandungnya gagal dikesan selepas menghilangkan diri dari Dar Assaadah," katanya.

Kes ketiga, katanya, membabitkan seorang kanak-kanak perempuan dianggar berusia antara antara 14 hingga 17 tahun dikenali sebagai Jeya atau Aishah yang ditemui orang ramai berkeliaran dalam keadaan tidak terurus.

"Tiada dokumen pengenalan diri ditemui padanya dan dia memaklumkan ibunya bernama Habiba berketurunan etnik Rohingna dan tinggal di sebuah hotel di Chow Kit.

"Bagaimanapun, kita gagal mengesan warisnya kerana tiada maklumat keluarga diperoleh," katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai ibu kandung atau waris kanak-kanak itu diminta menghubungi pegawai Pelindung JKM Kuala Lumpur, Mahani Mohamed atau Othman Ismail di talian 03-26124000 atau 03-26124037.

Berita Harian X