X
Selasa, 22 November 2016 | 5:36pm

Keluarga atlet kabaddi Terengganu terima pampasan

MENTERI Besar, Ahmad Razif Abdul Rahman (dua kanan) diiringi Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Sumber Manusia, Datuk Rozi Mamat (dua dari kiri) menyampaikan replika cek kepada ibu atlet, Faridah Abdul Ghani, 57 di Majlis Penyerahan Cek Insuran Kepada Atlet Kabaddi, Fatin Nadeera yang meninggal dunia tahun lepas di Wisma Darul Iman. - Foto Aswadi Alias

KUALA TERENGGANU: Keluarga atlet Kabaddi Sukan Malaysia (SUKMA) Terengganu, Fatin Nadeera Jasni yang meninggal dunia selepas terbabit kemalangan jalan raya dua tahun lalu, menerima cek pampasan RM100,000, hari ini.

Allahyarham Fatin Nadeera terbabit kemalangan jalan raya di KM29 Jalan Sungai Ikan, Tepoh berhampiran tapak pelupusan sampah pada Mei 2014 dalam perjalanan menuju ke Sekolah Sukan Bukit Nenas untuk pendaftaran kemasukan pelajar Tingkatan Enam.

Atlet di bawah Program Pembangunan Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) koma selama setahun sebelum meninggal dunia pada 27 Mei tahun lalu kira-kira jam 12.05 tengah hari.

Menteri Besar, Ahmad Razif Abd Rahman menyerahkan cek pampasan itu kepada ibu Fatin Nadeera, Faridah Abdul Ghani, 57.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia negeri, Datuk Rozi Mamat; Pengarah MSNT, Ibni Amin Busu dan Setiausaha Persatuan Kabaddi Negeri Terengganu, M Rizal Abu Bakar.

Sementara itu, Ahmad Razif berkata, kerajaan negeri melalui MSNT menyediakan skim insurans diri berkelompok bagi melindungi atlet negeri itu.

Katanya, sebelum ini dua atlet basikal, Mohd Asmu'i Ali menerima RM102,000 dan Shafiq Imran Shahril (RM50,000) manakala atlet bola baling, Mohd Naim Mohd Nasir menerima RM100,000 yang meninggal dunia akibat kemalangan.

"Setakat ini, empat atlet negeri ini yang dilindungi insurans menerima pampasan berjumlah keseluruhan RM352,000.

"Justeru, kita berharap pampasan yang diberikan ini dapat meringankan beban keluarga atlet terbabit," katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X