Rabu, 23 November 2016 | 12:01am

Imam OKU hafal al-Quran umur 10 tahun

MELIHAT gayanya mengajar al-Quran kepada jemaah yang mengikuti kelas talaqqi dengan tenang dan bersahaja, siapa sangka figura ini mengalami masalah penglihatan sejak kecil lagi.

Berada dalam kategori orang kurang upaya (OKU) ternyata bukan halangan untuk Muhammad Syukri Ismail, 27, membina kerjaya sebagai imam masjid yang dicita-citakan sejak di bangku sekolah lagi.

Kemampuan menghafal 30 juzuk al-Quran seawal usia 10 tahun memudahkan Imam Masjid Jamek Bandaraya Kuala Lumpur (MJBKL) itu menghayati setiap bacaan dan cekap mengesan kesilapan pada bacaan muridnya yang majoritinya celik penglihatan.

Memulakan kerjaya sebagai bilal terlebih dulu, Muhammad Syukri bersyukur apabila ditawarkan jawatan iman di MJBKL pada 2011.

"Saya menyimpan cita-cita untuk menjadi imam masjid di tanah Arab tetapi peluang berkhidmat di tanah air sendiri sebenarnya sudah cukup membanggakan. Memikul tugas imam di MJBKL awalnya memang mencabar terutama dari aspek pergerakan.

"Maklumlah, saya tidak biasa dengan persekitaran jadi terpaksa mendapatkan bantuan kakitangan masjid kerana bimbang terjatuh. Lama-kelamaan, semua menjadi biasa dan majoriti jemaah tidak melihat kekurangan saya ini dari sudut negatif," katanya.

Terbuka kepada teguran

Tambah Muhammad Syukri, tugasnya setiap hari selain mengimamkan solat mengikut waktu yang dijadualkan, beliau turut menjadi tenaga pengajar bagi kelas talaqqi dan fardu ain.

Mengamalkan sikap berlapang dada dan sentiasa terbuka kepada kritikan membina, beliau tidak pernah melatah apabila ada jemaah yang datang menegus bacaan solat apabila terdapat kesilapan. Baginya, itu lebih baik kerana manusia tidak sempurna dan terdedah kepada kesilapan.

"Ia sesuatu yang baik kerana ada jemaah yang prihatin dan berani menegur kesilapan imam secara baik. Saya langsung tidak berkecil hati. Kebanyakan yang menegur adalah jemaah dari negara luar seperti orang Arab dan ia membantu saya supaya lebih cermat serta fokus," katanya.

Mengenai kelas talaqqi, beliau berpandangan mengajar orang celik tidaklah terlalu sukar tetapi bagi yang celik akan berdepan masalah untuk membimbing golongan cacat penglihatan jika tiada alat bantu.

Beliau menggunakan al-Quran braille dan mengaplikasikan pelbagai teknik seperti menggalakkan golongan cacat penglihatan menghafal surah mudah terlebih dahulu selain memberi dorongan mereka berusaha mengasah potensi diri.

Atasi kekurangan

Berkongsi pengalaman, beliau yang mengikuti pengajian al-Quran seawal usia tujuh tahun menjadikan kaset taranum al-Quran sebagai peneman dan halwa telinga. Melihat kecenderungan itu, bapanya menghantar beliau ke Maahad Tahfiz al-Quran Derga ketika umur sembilan tahun.

"Selepas itu, saya menuntut pula di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Alma dari tingkatan satu hingga lima. Sebelah siang saya belajar bidang akademik, malam pula hafazan al-Quran," katanya.

Membuktikan OKU juga mampu melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi, Muhammad Syukri kemudian mendapat tawaran diploma syariah di Kolej Cybernetics, Taman Maluri, Kuala Lumpur.

Walaupun beliau satu-satunya OKU dalam dewan kuliah, ia tidak dijadikan alasan sebaliknya mengambil inisiatif sendiri seperti mengupah rakan bagi membantu mendapatkan bahan tugasan pengajian sehinggalah berjaya membawa pulang segulung diploma.

Sebagai OKU, beliau mengakui berdepan banyak kekangan seperti tidak dapat memiliki kenderaan dan merancang perjalanan. Jika ada jemputan kuliah di masjid, perlu menumpang rakan atau meminta bantuan jawatankuasa penganjur.

Misi lahirkan umat cinta al-Quran

Di akhir temubual, Muhammad Syukri menyuarakan harapan untuk terus menyumbang dalam melahirkan lebih ramai generasi celik al-Quran kerana baginya, biar tidak celik mata tetapi celik dan cinta al-Quran serta ilmu terkandung di dalamnya.

"Jika OKU seperti saya boleh mempelajari dan membaca al-Quran, tentu masyarakat yang sempurna sifat mampu melakukannya. Bagi menyemai minat mencintai al-Quran cukup mudah, jadikan amalan membaca satu halaman setiap hari kerana al-Quran panduan hidup dunia dan akhirat," katanya.

PROFIL

Nama: Muhammad Syukri Ismail

Tarikh lahir: 8 Mac 1989

Asal: Kampung Belukar, Alor Setar, Kedah

Umur: 27

Keluarga: Anak bongsu daripada sembilan beradik

Pendidikan: Diploma Syariah, Kolej Cybernetics, Taman Maluri, Kuala Lumpur

Kerjaya: Imam Masjid Jamek Bandaraya Kuala Lumpur

33 dibaca
Berita Harian X