Rabu, 23 November 2016 | 12:04am

Puteri Aishah pernah berkurung gara-gara 'surat cinta'

PERNAH tertekan hingga berkurung seminggu gara-gara viral kisah 'Cikgu Aishah terima surat cinta bapa murid', Puteri Aishah Sulaiman, 22, kini semakin terbuka apabila masih dipanggil dengan gelaran itu.

Akui pelakon baharu itu, suka atau tidak, panggilan terbabit memercikkan rezeki untuknya terjun ke arena lakonan walaupun setahun lalu ada pihak menuduhnya sebagai penggoda suami orang.

Katanya, biar isu gambar seorang guru bernama Cikgu Aishah yang dikaitkan dengannya itu mula terhakis daripada kotak ingatan, dulu hatinya terguris dihentam netizen yang tidak tahu hal sebenar.

"Sudah lebih setahun isu gambar viral itu berlaku. Walau ada orang cakap saya bertuah kerana popular mendadak, impak negatif tetap saya rasakan kerana pelbagai tuduhan dilemparkan hingga ada golongan ibu bertanyakan hal ini kepada pihak sekolah.

"Walhal gambar saya dan surat cinta palsu ayah murid itu sengaja digabungkan sebelum dikongsi di laman sosial. Saya tidak salahkan mereka, mungkin ia sekadar gurauan, tetapi segelintir masyarakat mudah percaya.


PUTERI Aishah mula dikenali gara-gara surat cinta yang kononnya dikirimkan seorang bapa murid disebarkan ketika dia menjalani latihan praktikal sebagai guru Bahasa Inggeris di sebuah sekolah. - Foto Abdullah Yusof

PUTERI Aishah yang diperkenalkan dalam drama Cik Cinderella dan Encik Tengku, tahun lalu.

"Sebagai insan biasa, saya anggap semua ini dugaan kecil. Memang waktu dihentam dulu saya berasa gundah, namun dari sudut positif pula, nama Cikgu Aishah membuka laluan kepada saya untuk berada di dunia seni," katanya yang diperkenalkan dalam drama Cik Cinderella dan Encik Tengku, tahun lalu.

Terdahulu, nama gadis tinggi lampai ini mula dikenali gara-gara surat cinta yang kononnya dikirimkan seorang bapa murid disebarkan ketika dia menjalani latihan praktikal sebagai guru Bahasa Inggeris di sebuah sekolah.

Walaupun surat berkenaan rekaan semata-mata, namun populariti gadis dari Port Dickson, Negeri Sembilan, ini terus melonjak apatah lagi selepas menyertai sebuah pertandingan pencarian si jelita.

Biar berada pada kedudukan Top 10, glamor diraih berikutan tempias 'Cikgu Aishah' membuatkan lulusan Diploma Pendidikan Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua (TESL) itu antara peserta paling cepat disambar rumah produksi.

Menganggap beliau cukup bertuah apabila dalam tempoh bertatih dirinya sudah pun diberi peluang sebagai tunjang teater muzikal randai, Cindua Mato, Mac lalu, ia dianggap sebagai landasan untuk mencuba bakat yang ada.


PUTERI Aishah bergandingan dengan aktor kesayangan ramai, Remy Ishak, menerusi filem Pulang. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

AISHAH memegang watak Thom dalam filem Pulang. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

Selepas itu, satu persatu tawaran terbentang di depan mata, termasuk melangkah ke layar perak bergandingan semula dengan aktor kesayangan ramai, Remy Ishak, menerusi filem Pulang.

"Kalau menyingkap semula perjalanan saya yang masih setahun jagung ini, hakikatnya orang mungkin nampak mudah, tetapi seperti orang lain saya juga perlu melalui sesi saringan dan uji bakat.

"Andai orang kata saya bertuah kerana ada rupa, rasanya di luar sana ramai lagi yang cantik dan berbakat. Jadi sebagai bakat baharu, saya perlu melipatgandakan usaha dan tidak mudah berpuas hati dengan pencapaian diri.

"Malah paling penting saya harus menjaga disiplin selain komunikasi dengan insan sekeliling, tidak kira pelakon mahu pun kru dan kaki tangan produksi kerana setiap entiti penting untuk kita terus bertahan," katanya yang pernah mendapat bimbingan Fauziah Nawi dan Fatimah Abu Bakar.

Menerusi filem skala besar terbitan Grand Brilliance Sdn Bhd (GBSB) yang berlatar era 1940-an hingga 2010, Aishah memegang watak Thom, iaitu isteri kepada kelasi bernama Othman lakonan Remy.

Filem arahan Kabir Bhatia ini berdasarkan inspirasi kisah benar mengenai seorang ketua keluarga yang sanggup bekerja sebagai kelasi kapal demi masa depan keluarga.

AISHAH pernah tertekan hingga berkurung seminggu gara-gara viral kisah 'Cikgu Aishah terima surat cinta bapa murid'
PUTERI Aishah Sulaiman.
Berita Harian X