Rabu, 23 November 2016 | 12:52am

18 maut bas jatuh gaung di utara Thailand

BANGKOK: Lapan belas pesara terbunuh pada Selasa apabila bas pesiaran yang mereka naiki terjunam ke gaung di utara Thailand, lapor polis dan media tempatan.

Semua mangsa terdiri daripada bekas pekerja syarikat milik kerajaan, CAT Telekom dan dalam perjalanan ke Bangkok daripada wilayah pergunungan di kawasan utara negara itu.

Laman web Bangkok Post melaporkan semua mereka dalam perjalanan pulang ke ibu negara selepas bercuti.

"Seramai 18 mangsa terbunuh manakala 20 yang lain cedera selepas bas terjunam ke gaung kerana pemandu tidak biasa dengan jalan terbabit," kata Ketua Polis Stesen Uttaradit, Ditsayadej Patcharapuwadol kepada AFP.

Menurut Patcharapuwadol, bas itu yang dalam perjalanan ke Bangkok - turun daripada jalan curam apabila ia melanggar penghadang sebelum terjunam ke gaung sedalam 50 meter.

"Pemandu bas salah seorang daripada mereka yang terbunuh dalam kemalangan di daerah Muang, Wilayah Uttaradit," katanya.

Gambar lokasi kemalangan di muat naik dalam laman sosial media menunjukkan bas berada pada kedudukan tergantung di kawasan gaung yang curam dengan keadaan bumbungnya hampir tercabut. - AFP

Berita Harian X