Khamis, 24 November 2016 | 12:07am

Rangka terapi sendiri untuk pulih anak autisme

KUANTAN: Aktiviti berenang, menunggang kuda dan memanah digunakan oleh sepasang suami isteri di sini sebagai terapi untuk anak mereka yang menghadapi masalah autisme sehingga berjaya memulihkan kanak-kanak itu.

Sebaik mengetahui anak mereka, Ajeerah, 12, mengalami sindrom Gangguan Spektrum Autisme (ASD), Wan Haszanalila Wan Hassan, 46, dan suaminya, Zaharudie Nawi, 48, terus mengeluarkan kanak-kanak itu dari kelas biasa ke kelas pendidikan khas.

"Kini hampir keseluruhan sindrom autisme berjaya diatasi, ia membolehkannya menjalani kehidupan seperti kanak-kanak lain, malah dia turut mencapai prestasi membanggakan seperti mewakili negeri dalam pertandingan bercerita dalam Bahasa Inggeris, menerima anugerah pendidikan khas dan membuat persembahan menunggang kuda di Equestrian Antarabangsa anjuran Kelab Lumba Kuda Ipoh, bulan lalu.

AJEERAH disahkan menghidap sindrom Gangguan Spektrum Autisme (ASD) ketika berusia 11 tahun. - Foto Farizul Hafiz Awang
AJEERAH disahkan menghidap sindrom Gangguan Spektrum Autisme (ASD) ketika berusia 11 tahun. - Foto Farizul Hafiz Awang

  "Usaha kami sekeluarga berjaya, bagi saya paling penting adalah peranan keluarga supaya tidak cepat putus asa apabila anak menghidap autisme dan ambil langkah segera seperti terapi," katanya.

Beliau berkata mereka mendapat maklumat daripada internet mengenai terapi pemulihan itu dan bersyukur kerana berjaya.

  Wan Haszanalila berkata, mereka hanya menyedari sindrom berkenaan ketika Ajeerah berusia 11 tahun dan pada mulanya mereka menyangkakan ia mengalami masalah malas dan lambat untuk memahami sesuatu termasuk dalam pelajaran.

  Katanya, Ajeerah juga hanya masuk tidur pada waktu subuh yang berbeza seperti kanak-kanak lain dan keadaan itu menyebabkannya sukar bangun pagi dan suaminya terpaksa mengangkatnya untuk mandi sebelum ke sekolahnya di Sekolah Kebangsaan (SK) Tunku Azizah di sini.

TERAPI berenang, memanah dan berkuda membantu Ajeerah pulih sedikit dan mampu mewakili negeri dalam pertandingan bercerita dalam Bahasa Inggeris, menerima anugerah pendidikan khas dan membuat persembahan menunggang kuda. - Foto Farizul Hafiz Awang
TERAPI berenang, memanah dan berkuda membantu Ajeerah pulih sedikit dan mampu mewakili negeri dalam pertandingan bercerita dalam Bahasa Inggeris, menerima anugerah pendidikan khas dan membuat persembahan menunggang kuda. - Foto Farizul Hafiz Awang

  "Suami terpaksa ke sekolah pada waktu rehat untuk membawanya ke tandas bagi membuang air kecil atau besar, kadang kala agak malu kerana tandas di sekolah berkongsi dengan murid perempuan lain.

  "Saya pada mulanya ingat masalah dihadapi Ajeerah mungkin mempunyai kaitan dengan mistik sehinggalah seorang daripada anak sulung yang melanjutkan pengajian dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak di insititusi pengajian tinggi swasta menyedari sesuatu ke atas adiknya.

  "Dia beritahu Ajeerah mungkin menghidap sindrom autisme dan kemudianya disahkan menerusi pemeriksaan di sebuah pusat perubatan di Kuantan," katanya ketika ditemui di kediamannya di Indera Mahkota 2 di sini.

  Selepas pengesahan itu, perkara pertama dilakukan Wan Haszanalila adalah mendaftarkan sebagai orang kelainan upaya (OKU) di Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan membatalkan pendaftarannya untuk menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

AJEERAH (kiri) mencium ibunya, Wan Haszanalila (kanan) ketika ditemubual wartawan ketika ditemui di kediamannya di Indera Mahkota. - Foto Farizul Hafiz Awang
AJEERAH (kiri) mencium ibunya, Wan Haszanalila (kanan) ketika ditemubual wartawan ketika ditemui di kediamannya di Indera Mahkota. - Foto Farizul Hafiz Awang

  "Ajeerah belum bersedia lagi untuk menghadapi UPSR dan saya memintanya dipindahkan ke kelas Pendidikan Khas, bermula dari itu saya dan suami mula mengumpul maklumat antaranya dengan melayari internet dan pembacaan buku.

  "Hasilnya kami mendapati aktiviti berenang baik untuk menguatkan bahagian pinggang ke atas manakala menunggang kuda bagi bahagian pinggang ke bawah dan memanah untuk membolehkannya fokus kepada sesuatu perkara," katanya yang menjalankan perniagaan tadika di sini.

  Katanya, bermula daripada itu mereka mengatur kegiatan Ajeerah untuk terapi yang boleh dianggap sebagai 'modul khas pemulihan' dan memastikan ia dijalankan secara berterusan pada setiap minggu.

  Sementara itu, Naib Presiden Persatuan Ibu Bapa Anak Istimewa Pahang (PIANIS), Noorjahan Sultan meminta ibu bapa yang mempunyai anak memiliki masalah OKU seperti autisme supaya menghubungi mereka untuk mendapatkan bantuan.

  "Kita ada menyediakan sesi penerangan bagi memberitahu kaedah sesuai membesarkan anak menghidap autisme, ramai ibu bapa tidak mempunyai kesedaran ke atas pencegahannya dan bermasalah membawanya ke terapi kerana kekangan kewangan," katanya.

INFO:

# Sindorm Gangguan Spektrum Autisme (ASD) berlaku pada usia awal kanak-kanak lazimnya pada usia tiga tahun

# Gejala berkenaan mempengaruhi kemampuan anak-anak dalam berkomunikasi dan berinteraksi dengan orang lain

# Antara kekurangan kemampuan dalam berkomunikasi adalah gagal menyebut nama sendiri, kontak mata yang sedikit, tidak fokus apa diperkatakan kepadanya dan gemar bermain sendiri (berada dalam dunia sendiri)  

AJEERAH kini seperti kanak-kanak lain. - Foto Farizul Hafiz Awang
AJEERAH kini seperti kanak-kanak lain. - Foto Farizul Hafiz Awang
Berita Harian X