Khamis, 24 November 2016 | 8:07am

Ivanka Trump asing akaun media sosial untuk peribadi, bisnes

IVANKA Trump. - Foto EPA

NEW YORK: Anak perempuan presiden baharu Amerika Syarikat, Ivanka Trump, yang dituduh ada konflik berkepentingan apabila mengemudi jenamanya sendiri ketika semakin kerap muncul dengan bapanya, Donald, kini memisahkan akaun media sosial perniagaan dan urusan peribadi.

Dalam 'surat' yang muncul dalam Twitter dan Instagram pada Selasa, pasukan ahli perniagaan wanita itu berkata, akaun sedia wujud iaitu @Ivanka Trump, yang masing-masing mempunyai 2.4 juta dan 1.9 juta pengikut, kini menjadi kegunaan urusan peribadi.

Sementara, semua maklumat berkaitan jenama pakaian dan barang kemas akan disiarkan dalam akaun @IvankaTrumpHQ.

"Sebagai penduduk, dengan penuh sedar kemunculan diberi perhatian, beliau akan meluaskan usaha untuk menetapkan pendirian mengenai isu kritikal yang penting kepada wanita dan keluarga Amerika.

"Misi syarikat kami tidak berasaskan politik, ia tidak pernah dan tidak akan menjadi begitu. Bagaimanapun, Ivanka secara peribadi, meningkatkan peluang memberi sokongan kepada wanita dan kuasa positif perubahan," kata kenyataan.

Naib Presiden Pembangunan dan Peralihan Trump Organization dan dua saudara lelakinya, yang menjadi naib presiden konglomerat itu, bertanggungjawab menguruskan kekayaan dan hal ehwal bapa mereka sepanjang hartawan itu berada di Rumah Putih.

Ivanka mencetuskan kontroversi apabila imej yang disiarkan kerajaan Jepun menunjukkan ahli perniagaan berusia 35 tahun itu dan suaminya, Jared Kushner, berdiri dan berbual dengan Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe, ketika beliau bertemu Trump di Menara Trump di Manhattan minggu lalu.

Beliau turut serta dalam perbualan telefon apabila Presiden Argentina, Mauricio Macri, menghubungi bapanya, walaupun ketua diplomat Argentina meyakinkan beliau dan Ivanka cuma beramah mesra.

Trump juga memberi petunjuk menantunya, Kushner, dapat membantu membawa keamanan antara Israel dan Palestin kerana berasal dari keluarga Yahudi Ortodoks. - AFP

Berita Harian X