Khamis, 24 November 2016 | 1:34pm

Beri saya masa - Mourinho

JOSE Mourinho. - Foto EPA

MANCHESTER: Pengurus Manchester United, Jose Mourinho menegaskan dia memerlukan masa bagi kembali meletakkan kelab itu sebagai kuasa besar seperti yang dilakukan pengendali sebelum ini, Sir Alex Ferguson.

"Pengurus terbaik dalam saingan Liga Perdana Inggeris memerlukan tempoh beberapa tahun bagi membina kejayaan yang berterusan. Jika yang terbaik memerlukan masa, ia membuktikan yang lain pun memerlukan masa," kata Mourinho.

Ferguson tiba di United pada 1986 tetapi dia tidak memenangi sebarang kejuaraan sehinggalah menjulang trofi Piala FA pada 1990 dan terpaksa menunggu tiga tahun selepas itu sebelum menjuarai Liga Perdana Inggeris.

Sepanjang tempoh 26 tahun mengendalikan The Red Devils, Ferguson memenangi 38 trofi termasuk 13 gelaran juara Liga Perdana Inggeris, lima Piala FA dan dua kejuaraan Liga Juara-Juara.

Mourinho yang hanya mengambil alih tempat sebagai pengurus daripada Louis van Gaal, Mei lalu, berkata ia mungkin memerlukan sedikit masa untuk dia membawa impak kepada kelab itu.

"Tugas ini terlalu sukar seperti yang saya jangkakan. Saya tidak pernah jangka tugas ini mudah... saya katakan saya mahu cuba memenangi Liga Perdana Inggeris tetapi dalam masa sama saya fikir ada risiko terhadap pendekatan saya," katanya.

United ketika ini menghuni tangga keenam liga, sembilan mata di belakang pendahulu, Chelsea.

Mourinho mengakui dia mahu membimbing United lebih daripada tiga tahun seperti kontrak yang ditandatanganinya tetapi sedar hanya prestasi di atas padang mampu menjamin hasratnya itu.

"Saya masih di awal kontrak saya. Saya baru memulakan proses, jadi kita lakukan satu demi satu.

"Jika kamu tanya saya adakah saya mahu mencapai kejayaan dalam tempoh tiga tahun ini dan adakah saya mahu kekal lebih lama daripada itu, sudah pasti jawapan saya ya.

"Ini kerana saya berada dalam kelab yang saya mahukan," kata Mourinho yang dipecat Chelsea, musim lalu. - AFP

Berita Harian X