Khamis, 24 November 2016 | 9:34pm

Media Prima anjur program turunkan berat badan kepada kakitangan 

SEBAHAGIAN kakitangan Media Prima yang menyertai Jom Sihat 100 Days Challenge Weight Loss. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

KUALA LUMPUR: Media Prima anjurkan program 'Jom Sihat 100 days Challenge Weight Loss' bagi membantu kakitangannya menjaga kesihatan dengan cara betul bagi menurunkan berat badan ke tahap yang seimbang.

Pengurus Perhubungan Pekerja Sumber Manusia Kumpulan Media Prima, Fauzi Hashim berkata, program berkenaan bertujuan menggalakkan kakitangan mengamalkan gaya hidup sihat.

"Seramai 114 peserta daripada Kumpulan Media Prima dalam kalangan mereka yang mempunyai Indeks jisim tubuh (BMI) 27 ke atas menyertai program ini yang bermula hari ini (semalam).

"Mereka perlu menghadapi cabaran menurunkan berat badan sekurang-kurangnya tujuh peratus daripada berat badan asal dan BMI mestilah 27 ke bawah. 

"Cabaran itu mesti dilakukan dalam tempoh 100 hari iaitu daripada 24 November 2016 sehingga 3 Mac 2017," katanya selepas pelancaran program 'Jom Sihat 100 days Challenge  Weight Loss' di Sri Pentas di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Penasihat program 'Jom Sihat 100 days Challenge  Weight Loss', Dr Rohaya Ramli.

Fauzi berkata, kesihatan tubuh badan adalah penyumbang utama kepada peningkatan kualiti kerja kakitangan.

"Kalau badan kita sihat dengan keadaan berat badan tidak berlebihan, ia sekali gus dapat meningkatkan prestasi dan kualiti kerja.

"Kita turut menyediakan kelas latihan kepada peserta di gimnasium Sri Pentas dan Balai Berita, selain sesi nasihat bersama doktor, malah jualan makanan sihat serta seimbang disediakan di kafe," katanya.

Program berkenaan turut mendapat kerjasama Kelab Media Prima.

Katanya, 10 peserta yang berjaya mencapai berat badan ideal akan diberikan hadiah berbentuk wang tunai.

Sementara itu, Dr Rohaya berkata, perkara utama mengurangkan berat badan adalah menjaga pemakanan harian dan melakukan senaman berkala.

"Mereka perlu mengurangkan makanan berlemak, berminyak dan santan, selain mengamalkan pemakanan kerap tapi dalam kuantiti yang sedikit," katanya.

Berita Harian X