Jumaat, 25 November 2016 | 12:02am

Fahami jiwa, kenal pasti punca anak curi merokok

REMAJA merokok sebagai cara menunjukkan protes kepada ibu bapa atau guru kerana mereka gagal memahami keperluan dirinya dan permasalahan dialami sebaliknya sering dimarahi, dimaki hamun dan dihukum.

SAYA mempunyai anak lelaki berusia 15 tahun dan baru mendapat tahu anak merokok awal tahun ini. Baru-baru ini, saya mengetahui dia ponteng puasa beberapa hari kerana tidak dapat menahan ketagihan merokok. Dia berbohong dan berkali-kali menafikannya. Apakah cara terbaik menangani masalah dengan anak remaja sebegini?

Meor Harman - Kampung Bharu, Kuala Lumpur

Gejala merokok dalam kalangan remaja memang memeningkan kepala ibu bapa dan guru. Pelbagai cara dilakukan bagi menangani masalah ini daripada kaunseling sehinggalah hukuman bertujuan mendisiplin dan memberi pengajaran. Hukuman gantung sekolah memang tidak memberi kesan kepada remaja kerana mereka berasa lebih bebas di luar untuk merokok.

Kalau dirotan dengan tujuan memalukan, pastinya mereka tidak akan serik, sebaliknya akan mengulangi lagi sebagai protes. Ini kerana rasa malu yang dialami seseorang itu jika tidak disulami rasa bersalah yang datang dari lubuk hati, pastinya akan mencetuskan rasa dendam dan ingin memberontak.

Justeru, dalam usaha menangani permasalahan ini, perkara utama yang perlu diberi perhatian adalah punca kenapa remaja merokok. Jika faktor itu dapat dikenal pasti dan permasalahan dapat diselesaikan. Remaja wajar didampingi sebagai kawan, gejala ini akan dapat dikurangkan.

Cuba memahami keperluan anak remaja sering bergolak perasaan dan jiwanya memang suatu yang mencabar kesabaran. Jika ibu bapa cuba memberinya peluang untuk tidak dikongkong dan menjadi dirinya sendiri (seperti kita bermain layang-layang, perlu dikawal jangan sampai terputus tali, tetapi ia bergerak bebas di udara) pastinya dia akan memberi sepenuh kepercayaan kepada ibubapa, menghormati dan tak akan menyembunyikan apa-apa.

Jadikan anak kawan

Antara faktor utama yang menjadi penyebab remaja merokok adalah kerana melihat ada dalam kalangan ahli keluarganya merokok dan remaja memerhatikan gelagat itu sejak kecil, lalu meniru dan mencuba apabila ada peluang. Bila sudah ketagih, memang sukar untuk diberhentikan. Jika tabiat merokok bukan berpunca daripada keluarga, remaja merokok sebagai cara menunjukkan protes kepada ibu bapa atau guru kerana mereka gagal memahami keperluan dirinya dan permasalahan dialami sebaliknya sering dimarahi, dimaki hamun dan dihukum.

Lantas, merokok dilihat sebagai satu cara mendapat keseronokan, sengaja ingin melepaskan geram dan menunjukkan kepada ibu bapa dia sudah besar dan boleh menentukan sendiri apa yang dikehendaki.

Memang tidak dapat dinafikan, ada segelintir remaja merokok kerana tekanan atau cabaran daripada rakan sebaya. Bila sudah mencuba sekali, remaja merasakan dirinya cool kerana diterima kawan dan tidak disisih.

Bagaimanapun, jika ibu bapa atau guru berjaya memainkan peranan melayani mereka sebagai kawan, menjadi tempat remaja mengadu dan berkongsi masalah serta cuba melihat sesuatu dari perspektif remaja itu sendiri, pastinya `kawan' yang baik akan sentiasa dihormati, disayangi, disegani dan remaja akan rasa bersalah jika dia mengguris perasaan `kawan' itu. Dalam erti kata lain, remaja tidak akan begitu mudah menuruti cabaran rakan sebaya yang lain kerana dia tahu ada `kawan' lain (ibu bapa atau guru) yang perlu dijaga hatinya kerana `kawan' ini menghormati dan menjiwai.

Kaitkan pengalaman lalu

Remaja merokok kerana mereka tidak atau belum begitu memahami sepenuhnya risiko dan bahaya merokok dari segi kesihatan dan sebagainya. Meskipun perkembangan intelek remaja jauh lebih matang berbanding zaman kanak-kanak, namun masih dalam bentuk yang konkrit dan belum jauh menjangkaui sesuatu yang abstrak terutama bagi remaja di peringkat awal perkembangan (11-15 tahun).

Remaja boleh mengaitkan sesuatu maklumat baru dengan pengalaman lepas dan dengan apa yang mereka hadapi sekarang namun masih menghadapi kesukaran memikirkan sesuatu pada masa hadapan atau sesuatu perkara yang mereka belum pernah alami.

Berfikiran secara abstrak

Bagi remaja peringkat pertengahan pula (15-18 tahun), keupayaan untuk berfikir sesuatu yang abstrak semakin terserlah tetapi memerlukan masa sebelum ia benar-benar mantap. Remaja mungkin boleh memikirkan akibat perbuatan dalam jangka masa panjang, tetapi ada kalanya pemikirannya seolah-olah terbatas dan balik kepada pemikiran konkrit, fokus hanya kepada masa sekarang atau hari ini tanpa dapat memikirkan sesuatu yang begitu abstrak.

Melihat kepada situasi tahap pemikiran remaja ini, perlu difahami remaja kadang-kadang mampu berfikir dan mengemukakan idea yang bernas dalam menyelesaikan sesuatu masalah, tetapi sukar untuk melaksanakan kerana kurang pengalaman dan teramat memerlukan bimbingan serta tunjuk ajar.

Takut dimarah

Bila remaja mula berbohong, pastinya ibu bapa atau guru akan berasa kecewa. Faktor yang menyebabkan mereka berbohong juga perlu dikenal pasti. Biasanya remaja berbohong kerana ingin mengelak daripada melakukan sesuatu yang dia tidak suka atau kadangkadang mereka juga berbohong kerana cuba melindungi orang lain yang mereka sayangi. Apa yang pasti, jika remaja berbohong kerana ing in menyembunyikan sesuatu yang dia lakukan bagi mengelak dimarah teruk, dimaki hamun atau dihukum, pastinya pendekatan kekerasan bukan jalan terbaik menangani permasalahan ini.

Cubalah `berkawan' dengan remaja dan rakan sebayanya yang lain kerana dari situ, pasti kita akan mengetahui apakah rahsia atau permasalahan sebenar yang sedang mereka alami.

Berita Harian X