Jumaat, 5 Disember 2014 | 3:38pm

Perlis, Kedah paling banyak kes sakit buah pinggang

KANGAR: Perlis dan Kedah mencatat paling ramai pesakit buah pinggang, kata Ketua Pegawai Esekutif Yayasan Buah Pinggang Negara (NKF), Chua Hong Wee.

Beliau berkata penilaian itu dibuat berdasarkan kepada jumlah pesakit di kedua-dua negeri terbabit sejak beberapa tahun lalu.

"Kita tidak dapat pastikan apakah punca sebenar menyebabkan kedua-dua negeri ini mempunyai bilangan paling ramai pesakit buah pinggang, tetapi tidak mustahil kemungkinan ada kaitan sebab negeri terbabit mempunyai kilang gula," katanya kepada pemberita hari ini.

Chua berkata demikian pada majlis penyerahan mesin hemodialisis bernilai RM45,000 sumbangan Persatuan Isteri Pegawai dan Kakitangan PETRONAS Malaysia (Petronita) melalui NKF untuk Pusat Hemodialisis Tuanku Syed Putra (PHTSP) di Taman Bukit Kaya di sini.

Chua berkata, punca utama berlaku kes penyakit buah pinggang adalah disebabkan kencing manis yang terlalu tinggi hingga memberi kesan kepada fungsi buah pinggang menyebabkan seseorang pesakit perlu menjalani rawatan hemodialisis.

Katanya, NKF kini menyediakan 28 pusat rawatan hemodialisis di seluruh negara dengan kadar bayaran paling minima.

"NKF memerlukan perbelanjaan kira-kira RM36 juta bagi mengendalikan pusat rawatan tersebut setiap tahun. Justeru, NKF amat mengharapkan sokongan dan sumbangan daripada orang ramai yang berkemampuan bagi meneruskan program itu," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Pertubuhan Pengurusan PHTSP, Datuk Johari Mohd Darus, berkata dengan sumbangan itu, pusat itu kini mempunyai 19 mesin hemodialisis untuk memberi rawatan kepada 51 pesakit.

Beliau berkata, pesakit yang masih belum menerima rawatan boleh mendaftar di pusat itu yang mampu menampung sehingga 84 pesakit.

Katanya, di Perlis sahaja sekarang terdapat kira-kira 1,200 penghidap sakit buah pinggang.

Ketua Biro Kebajikan Petronita Malaysia, Nazree Aniza menyerahkan sumbangan itu kepada Johari dengan disaksikan Pengerusi Petronita Gurun, Kedah, Yusnani Alionar dan barisan lembaga pengarah PHTSP.

- BERNAMA

Berita Harian X