Jumaat, 25 November 2016 | 12:09am

Shima Anuar pilih lelaki berbeza 15 tahun sebagai tunang

TANPA berdolak-dalih mengenai status diri, pelakon, Shima Anuar, memaklumkan dirinya bakal mendirikan rumah tangga bersama pilihan hatinya, tahun depan.

Sebelum itu, bintang filem Highland Towers ini, akan bertunang dengan pilihan hatinya pada 17 Disember ini.

Shima atau nama sebenarnya Nor Hashimah Anuar, 25, berkata jejaka terbabit bagaimanapun bukanlah pelakon, Arja Lee, yang sebelum ini pernah digosipkan mempunyai hubungan cinta dengannya.

SHIMA akui berdebar untuk merealisasikan majlis pertunangannya.
SHIMA akui berdebar untuk merealisasikan majlis pertunangannya.

"Lelaki pilihan saya ini bukanlah daripada kalangan mereka yang terbabit dalam industri seni, sebaliknya beliau hanyalah orang biasa.

"Jika diikutkan, saya memang lebih menyukai insan bukan daripada industri seni, sebabnya saya sendiri amat maklum mengenai dunia hiburan. Jadi, bagi saya, adalah lebih mudah rasanya untuk menjalinkan hubungan dengan orang biasa," katanya ketika ditemui di Balai Berita Bangsar, semalam.

Dedah Shima, beliau mengenali bakal tunangnya itu pada tahun ini dan selepas beberapa bulan berhubungan, masing-masing membuat keputusan untuk membawa ikatan percintaan ke fasa lebih serius.

"Insya-Allah, kami akan bertunang dalam masa tiga minggu lagi. Kami juga sudah berjumpa dengan keluarga masing-masing," katanya.

Berkongsi mengenai jejaka pilihannya yang juga seorang ahli perniagaan, Shima menyifatkan beliau seorang yang sangat terbuka, bertanggungjawab, pandai menjaga hati selain sentiasa menghormati insan lain, tidak kira tua atau muda.

Katanya lagi, lelaki yang berjaya mencuri hatinya itu 15 tahun lebih tua daripadanya.

"Jarak usia kami itu begitupun bukanlah kekurangan, sebaliknya satu kelebihan. Saya pernah bercinta sebelum ini dan saya dapati, agak susah untuk berhubung dengan seseorang yang tidak memahami.

PELAKON, Shima Anuar atau nama sebenarnya Nor Hashimah Anuar.
PELAKON, Shima Anuar atau nama sebenarnya Nor Hashimah Anuar.

"Jadi, saya rasa lelaki yang berusia mudah memahami dan saya yakin pilihan saya ini adalah yang terbaik. Beliau jauh lebih matang berbanding lelaki yang saya kenali sebelum ini," katanya.

Belum menetapkan berapa lama tempoh pertunangan, beliau mengharapkan ada sedikit masa dan ruang untuknya melaksanakan tugas sebagai pelakon.

"Jika jadual seni saya mengizinkan, mungkin kami akan berkahwin dalam tahun depan, cuma tarikhnya belum lagi ditetapkan," sambungnya.

Shima juga tidak kisah untuk menamatkan zaman bujang pada usia muda. Menurutnya, beliau masih boleh meneruskan minatnya dalam dunia lakonan selepas berumahtangga. Apatah lagi, bakal tunangnya juga tidak menghalang beliau untuk terus berlakon.

Dalam pada itu, Shima akui berdebar untuk merealisasikan majlis pertunangannya kerana sesekali tidak pernah terlintas di fikirannya untuk bertunang dalam masa terdekat. Beliau juga mengaku tidak pernah meletakkan sasaran usia untuk menamatkan zaman bujang.

"Terus-terang saya tidak pernah terfikir pasal perkahwinan sebelum ini, jadi apabila mahu bertunang, saya mula gusar memikirkan apa yang perlu saya lakukan. Mujur saya ada keluarga dan kawan-kawan yang banyak membantu berkongsi idea. Sekarang, saya sedang membuat pilihan baju yang akan disarungkan pada majlis itu nanti," katanya.

Pelakon naungan Metrowealth International Group (MIG) ini akan tampil dengan filem Hospital, awal tahun hadapan.

Ketika ini, beliau sedang menjayakan penggambaran drama 26 episod terbitan RTM, Gaduh-Gaduh Sayang, bersama Shukri Yahaya dan Nur Risteena Munim.

SHIMA bakal mendirikan rumah tangga bersama pilihan hatinya, tahun depan.
SHIMA bakal mendirikan rumah tangga bersama pilihan hatinya, tahun depan.
PASANGAN hidup Shima bukanlah pelakon, Arja Lee, yang sebelum ini pernah digosipkan.
PASANGAN hidup Shima bukanlah pelakon, Arja Lee, yang sebelum ini pernah digosipkan.
LELAKI yang berjaya mencuri hati Shima berusia 15 tahun lebih tua daripadanya.
LELAKI yang berjaya mencuri hati Shima berusia 15 tahun lebih tua daripadanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X