Jumaat, 25 November 2016 | 12:24pm

Ibu resah kepala anak semakin membesar

NOR Huzaipah Yaacob dan anaknya, Muhammad Nur Awal Zafran Md Huzaifah. - Foto Faris Zainuldin
NOR Huzaipah Yaacob dan anaknya, Muhammad Nur Awal Zafran Md Huzaifah. - Foto Faris Zainuldin

TUMPAT: Rawan hati seorang ibu apabila menyedari kepala anak tunggal semakin hari semakin membesar akibat penyakit hidrosefalus.

Jika ketika dilahirkan, ukur lilit kepala Muhammad Nur Awal Zafran Md Huzaifah, 17 bulan, adalah 41 sentimeter (sm), tetapi kini membesar sehingga 52sm.

Muhammad Nur Awal yang ditemui di Kampung Kebakat di sini, hanya mampu terbaring, namun menunjukkan respon jika disapa ibunya, Nor Huzaipah Yaacob, 32, meskipun kedua-dua matanya tidak dapat melihat.

Nor Huzaipah berkata, kelahiran anak tunggalnya itu tahun lalu melalui pembedahan dan diawalkan seminggu dari tarikh yang dijangka disebabkan saiz kepala yang luar biasa dikesan dan jantung bayi yang lemah ketika itu.

"Saya mendapatkan rawatan bulanan di Klinik Desa di sini dan sebaik dilakukan ujian imbasan, jururawat terkejut apabila mendapati saiz kepala bayi saya luar biasa dan terus dirujuk ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) untuk dibedah.

"Walaupun berat ujian ini kerana Muhammad Nur Awal adalah bayi sulung kami, namun saya terima dengan reda, malah akan memberi sepenuh kasih sayang kepada anak istimewa ini," katanya.

Dalam usia sekecil itu, Muhammad Nur Awal sudah dua kali menjalani pembedahan memasukkan tiub sepanjang dua meter di bahagian kepala hingga perut bagi mengeluarkan cecair daripada kepalanya menerusi air kencing.

Pada usia seminggu, pembedahan kali pertama dilakukan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) di sini, membabitkan kos lebih RM50,000 dan ditanggung pihak hospital menerusi tabung kebajikan hospital, manakala pembedahan kedua pula pada usianya enam bulan.

Pada usia terlalu muda, Muhammad Nur Awal terpaksa dirujuk kepada enam pakar iaitu pakar mata, telinga, fisioterapi, pediatrik, neurologi dan audiologi, malah hospital boleh dianggap sebagai rumah keduanya.

Kanak-kanak istimewa itu hanya bergantung kepada susu khas yang terpaksa diminum menggunakan tiub yang dipasang di hidung disebabkan saluran tekaknya mengalami masalah ketumbuhan dan baru menjalani rawatan laser pada awal bulan ini.

Nor Huzaipah berkata, pihak hospital ada memberi bantuan susu khas tetapi tidak mencukupi, malah beliau dan suami terpaksa memperuntukkan sekurang-kurangnya RM400 sebulan untuk menampung bekalan susu bayi mereka.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X