X
Jumaat, 25 November 2016 | 3:17pm
Bank tempatan diminta mematuhi peraturan sedia ada bagi menghalang pemudahan pasaran kontrak hadapan tidak boleh serah (NDF) ringgit luar pesisir agar sejajar dengan dasar ringgit yang mantap. - Foto hiasan
Bank tempatan diminta mematuhi peraturan sedia ada bagi menghalang pemudahan pasaran kontrak hadapan tidak boleh serah (NDF) ringgit luar pesisir agar sejajar dengan dasar ringgit yang mantap. - Foto hiasan

Ringgit: Bank tempatan diminta patuhi peraturan

KUALA LUMPUR: Bank tempatan diminta mematuhi peraturan sedia ada bagi menghalang pemudahan pasaran kontrak hadapan tidak boleh serah (NDF) ringgit luar pesisir agar sejajar dengan dasar ringgit yang mantap.

Langkah itu bertujuan melindungi kepentingan sektor ekonomi benar dan pelabur yang benar-benar ingin melabur dalam pasaran kewangan Malaysia daripada sebarang turun naik ringgit yang tidak diingini, demikian tegas Bank Negara Malaysia (BNM).

Bank pusat berkata, nilai ringgit dan turun naiknya telah menerima kesan daripada aktiviti dan harga dalam pasaran NDF luar pesisir yang tidak semestinya mencerminkan asas ekonomi, serta aktiviti yang menyokong perdagangan dan pelaburan.

Katanya, pasaran kewangan Malaysia kekal terbuka dengan adanya pematuhan yang berkesan.

"Mudah tunai terus tersedia untuk menyokong operasi pasaran kewangan Malaysia yang lancar dan teratur sebagai pengantara keperluan peserta pasaran," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut BNM, sepanjang minggu 14 hingga 18 November, sejumlah RM39.7 bilion dan AS$49.1 bilion diurusniagakan masing-masing dalam pasaran bon dan pertukaran asing Malaysia berbanding RM17.8 bilion dan AS$31.6 bilion masing-masing yang diurusniagakan pada minggu sebelumnya.

Katanya, peserta bukan pemastautin, seperti syarikat, pengurus aset dan dana global serta bank penyelesai dan serta kustodian terus menjalankan urus niaga dalam pasaran kewangan Malaysia.

Pengantara bagi urus niaga berkenaan, jelasnya, ialah 58 bank tempatan di Malaysia, termasuk 19 bank asing yang juga adalah anak syarikat bank serantau dan global yang besar.

"Beberapa bank asing memulakan perbincangan dengan BNM mengenai keperluan transaksi pasaran kewangan mereka untuk memudahkan peralihan yang lancar dalam tempoh ini, tanpa menyebabkan gangguan kepada pasaran," katanya.

Merujuk kepada ucapan Gabenor BNM, Datuk Muhammad Ibrahim, pada majlis makan malam tahunan anjuran Persatuan Pasaran Kewangan pada 18 November lalu, ahli Jawatankuasa Pasaran Kewangan (FMC) mengalu-alukan pengumuman inisiatif dan strategi untuk terus memperdalam mudah tunai dalam pasaran tempatan.

Menurut FMC, masa sama memberikan lebih fleksibiliti kepada peserta pasaran untuk menguruskan risiko pertukaran asing dengan bank tempatan.

FMC bersedia untuk melaksanakan inisiatif itu serta mengadakan perbincangan dan berinteraksi dengan pihak industri untuk menyokong pelaksanaan yang cekap dan berkesan.

Berita Harian X