Jumaat, 25 November 2016 | 5:17pm

Mamee beri laluan pihak lain taja MU

AHLI Lembaga Pengarah Mamee, Datuk Gary Choo. -Foto Muhammad Zuhairi Zuber

MELAKA: Mamee-Double Decker (M) Berhad (Mamee) bercadang menarik diri daripada menaja pasukan Melaka United (MU) bagi saingan musim depan susulan kehadiran banyak pihak yang berminat untuk bersama skuad itu.

Syarikat pengeluar industri makanan dan minuman yang beroperasi di negeri ini sudah menaja skuad berkenaan sejak enam tahun lalu.

Ahli Lembaga Pengarah Mamee, Datuk Gary Choo mengesahkan perkembangan itu.

"Minat yang ditunjukkan pelbagai pihak, termasuk syarikat besar itu, sekali gus membuktikan MU kian popular dan mendapat perhatian. Ia sangat baik untuk perkembangan bola sepak Melaka.

"Apa pun, kami (Mamee) sedia menaja andai diperlukan bagi tahun 2017, namun terlebih dulu kami sedia memberi laluan kepada penaja baharu," katanya ketika ditemui, hari ini.

Syarikat berkenaan sebelum ini turut menaja pasukan MU melawat kelab Manchester United di Old Trafford sebagai hadiah kejayaan pasukan itu layak ke Liga Super.

Gary berkata, pihaknya akan terus memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada pasukan MU dan berharap kecemerlangan yang ditunjukkan akan diteruskan pada masa akan datang.

"Kami melihat potensi baik ditunjukkan pasukan MU dan yakin mampu memberi saingan sengit kepada pasukan lain dalam saingan kali ini," katanya.

Berita Harian X