Jumaat, 25 November 2016 | 7:06pm

Ibu maut, anak parah selepas kereta bertembung bas ekspres

ORANG awam sedang membantu mengelaurkan mangsa yang pengsan dalam kereta jenis Honda Accord yang bertembung dengan sebuah bas di Jalan Parit Panjang - Kuala Ketil, Kampung Kembai Luar, pagi tadi. Gambar kecil, mangsa yang maut, Minah Jaafar.
ORANG awam sedang membantu mengelaurkan mangsa yang pengsan dalam kereta jenis Honda Accord yang bertembung dengan sebuah bas di Jalan Parit Panjang - Kuala Ketil, Kampung Kembai Luar, pagi tadi. Gambar kecil, mangsa yang maut, Minah Jaafar.

BALING: Seorang wanita warga emas maut selepas kereta jenis Honda Accord yang dinaikinya bertembung dengan sebuah bas ekspres di Jalan Parit Panjang - Kuala Ketil, Kampung Kembai Luar, di sini pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shariffuddin Yusuf, berkata mangsa, Minah Jaafar, 67, dari Pondok Banggol Berangan Parit Panjang, di sini maut manakala pemandu yang juga anaknya, Sapiiullah Omar Zuhdi, 49, cedera parah dalam kejadian jam 8.15 pagi.

Katanya, kereta mangsa dipercayai memotong sebuah motosikal dengan memasuki laluan bertentangan sebelum gagal mengelak lalu melanggar bas dari arah bertentangan.

"Akibat pertembungan itu, Minah cedera parah di kepala dan tidak sedarkan diri manakala anaknya juga cedera parah dan patah kaki kanan.

"Minah meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Baling manakala anaknya pula sedang dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Shariffuddin berkata, jenazah Minah sudah dituntut ahli keluarganya dan dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Parit Panjang, di sini.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu sehingga menyebabkan kematian," katanya.

Berita Harian X