Sabtu, 26 November 2016 | 9:26am
SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Iskandar merasmikan Kejohanan Golf Amal Piala Laksamana di The ELS Club Desaru-The Ocean, Kota Tinggi, pagi ini. - Foto Mohd Azren Jamaludin

Sultan Johor rasmi Kejohanan Golf Amal Piala Laksamana

KOTA TINGGI: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar berangkat ke The ELS Club Desaru-The Ocean, Kota Tinggi, dekat sini, pagi ini bagi merasmikan Kejohanan Golf Amal Piala Laksamana.

Sultan Ibrahim yang tiba pada jam 7.30 pagi, diiringi Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman dan Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar.

Baginda kemudian menyempurnakan majlis memotong riben dan menandatangani plak khas yang juga gimik perasmian The ELS Club Desaru-The Ocean. Tunku Abdul Rahman dan Tunku Abu Bakar kemudian melakukan pukulan tee-off, kira-kira jam 8 pagi.

Seramai 120 pemain golf termasuk dari Singapura berentap pada kejohanan yang berlangsung sehari itu.

Media Prima Berhad dipilih sebagai media rasmi kejohanan berkenaan yang julung kali dianjurkan Persatuan Golf Pelancongan Johor (JGTA).

Kejohanan turut menawarkan Piala Pusingan Laksamana seberat 14 kilogram dengan nilai RM411,322, yang ditaja Sultan Ibrahim dan ditempah khas dari sebuah syarikat pembuat piala terkemuka di England.

Berita Harian X