Jumaat, 5 Disember 2014 | 6:26pm
PENGARAH Takhta 3 Ratu, Erma Fatima (kanan) ketika mengadakan sidang media di majlis pratonton di Istana Budaya. - Foto Syaharim Abidin
PENGARAH Takhta 3 Ratu, Erma Fatima (kanan) ketika mengadakan sidang media di majlis pratonton di Istana Budaya. - Foto Syaharim Abidin

Supertele epik Takhta 3 Ratu disiarkan 6 episod

PENGARAH Takhta 3 Ratu, Erma Fatima (empat dari kiri) bersama pelakon Takhta 3 Ratu di Istana Budaya. - Foto Syaharim Abidin

KUALA LUMPUR: Akhirnya pihak Astro mempertimbangkan usul rakan media untuk menyiarkan supertele epik Takhta 3 Ratu sebanyak enam episod menerusi siaran Astro First Ekslusif. Malah menurut wakil Astro sebentar tadi, drama itu akan dianjak tarikh siarannya.

Asalnya ia dirancang untuk disiarkan 25 Disember dalam format super tele berdurasi dua jam setengah. Bagaimanapun kerana perlu menyunting semula menjadi enam episod ia akan disiarkan di saluran yang sama bermula 1 Januari depan.

Pada tayangan perdana drama berkenaan baru-baru ini di Panggung Sari Istana Budaya, ada wartawan yang menyifatkan galur cerita drama arahan sutradara Erma Fatima itu seakan longgar dan tidak kemas apabila ia dipadatkan untuk tempoh kurang tiga jam.

Masakan tidak, ia asalnya berdurasi sekitar lebih lapan jam tetapi perlu disunting menjadi dua jam setengah. Perkara itu disedari Erma, namun kuasa mutlak berada di tangan pihak Astro. Bagaimanapun pihak Astro akhirnya membuat keputusan untuk mengubah format siarannya.

PELAKON Takhta 3 Ratu, (dari kiri) Erra Fazira, Feby Febiola dan Soo Wincci di Istana Budaya. - Foto Syaharim Abidin

Drama itu digarap secara fiksyen berdasarkan sejarah, menelusuri tiga sisi dan naluri wanita bangsawan lakonan Erra Fazira sebagai Lela Wangsa, Soo Wincci (Puteri Hang Li Po) dan Galuh Chenderai Kirana (Feby Febiola). Turut berlakon ialah Datuk Rahim Razali dan Awie.

Erma, dalam kenyataannya sebelum ini, cuba memperlihatkan drama ini sebagai mempertahankan jati diri bangsa yang hilang seiring dengan perkembangan masa kini selain cuba memberi pandangan jauh mengapa Melayu harus terus bertakhta di bumi ini.

Drama itu juga bakal dipersembahkan dalam format teater bermula dari 13 hingga 22 Disember ini. Ia akan dipentaskan di Panggung Sari Istana Budaya.

Watak utama drama turut dikekalkan selain menambah deretan wajah baru untuk memantapkan lagi teater ini. Bagi watak Galuh Chenderai, ia tidak dilakonkan Feby Febiola sebaliknya dilakonkan Izreen Azminda.

Tiket berharga RM50 hingga RM350 boleh dibeli di kaunter IB atau melayari laman www.airasiaredpix.com.

Berita Harian X