Sabtu, 26 November 2016 | 2:08pm

Anas Ridzuan berhenti menyanyi

BEKAS peserta program realiti, Mentor musim keenam, Anas Ridzuan. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

KUALA LUMPUR: Bekas peserta program realiti, Mentor musim keenam, Anas Ridzuan, 27, mahu berhenti menyanyi bagi memberi lebih tumpuan kepada bidang lakonan.

Anas memberitahu BH Online, buat sementara waktu, dia mahu lebih aktif berlakon selain mendalami bidang pengacaraan yang kian serasi dengannya.

"Sudah lebih kurang empat tahun saya tidak menyanyi. Sebenarnya, minat saya lebih terarah kepada bidang lakonan. Saya akui menggunakan program Mentor sebagai landasan menceburi bidang seni.

"Jadi saya mahu penuhi dulu tawaran berlakon. Mungkin suatu hari nanti saya akan menyanyi semula," kata graduan bidang Filem, Teater dan Animasi, Universiti Teknologi Mara (UiTM) ini.

Ketika ini, Anas dan pelakon, Nadzmi Adhwa mengacarakan program travelog Jalan-Jalan Cari Makan (JJCM) yang disiarkan TV3 setiap Ahad. Dalam program itu, Anas menyanyi secara spontan dan bersahaja.

Bersyukur dengan rezeki dikurniakan, Anas tidak memikirkan soal populariti sebaliknya lebih mementingkan cara untuk terus relevan dalam industri.

"Awal-awal dulu memang seronok untuk kejar nama, kejar populariti, tapi sekarang saya lebih berusaha mengekalkan nama.

"Sangat mencabar untuk bertahan dalam industri. Pertamanya, sebab saya sudah tidak lagi bernaung di bawah pihak pengurusan. Sudah hampir setahun saya bergerak sendiri," katanya.

Sementara itu, anak kelahiran Alor Setar, Kedah ini baru menamatkan zaman bujang pada 22 Oktober lalu.

Hanya sempat mengadakan majlis pernikahan, Anas berkata, dia dan isterinya, Ana Syuhada merancang menganjurkan majlis resepsi, Januari depan.

Berita Harian X