Sabtu, 26 November 2016 | 3:05pm

100 rakyat Malaysia mati setiap hari akibat diabetes

PUTRAJAYA: Purata 100 rakyat negara ini meninggal dunia setiap hari akibat diabetes dan hampir 35,000 orang meninggal dunia setiap tahun kesan penyakit itu.

Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Datuk Dr Lokman Hakim Sulaiman, berkata kira-kira 1.8 juta rakyat Malaysia tidak menyedari mereka menghidap penyakit itu yang berpunca daripada cara pemakanan dan gaya hidup tidak sihat.

Dr Lokman berkata, peningkatan jumlah pesakit diabetes amat ketara, turut menyumbang kepada peningkatan masalah kesihatan seperti obesiti, tekanan darah dan glukosa dalam darah yang tinggi.

"Pada peringkat usia 18 tahun ke atas, terdapat peningkatan yang mendadak bagi penyakit tidak berjangkit ini dalam kalangan rakyat Malaysia, iaitu sebanyak 13.3 peratus berbanding Filipina 5.1 peratus dan Myammar, 2.9 peratus.

"Kementerian sangat berharap rakyat Malaysia dapat mengubah cara hidup dan gaya pemakanan demi kesihatan yang sihat sepanjang hayat," katanya kepada media selepas merasmikan Sambutan Hari Diabetes Sedunia di sini, hari ini.

Dr Lokman turut menasihatkan orang ramai supaya membuat diagnosis awal bagi membantu mereka menguruskan diabetes dengan lebih baik dan mengelakkan komplikasi jangka panjang.

Berita Harian X