Ahad, 27 November 2016 | 7:15am

Pemimpin dunia digesa hentikan kekejaman di Myanmar

Perasaan sedih menyelubungi masyarakat dunia mengenangkan nasib etnik Rohingya yang diperlakukan dengan begitu kejam oleh pelampau agama.

Tragedi ini harus dipandang serius kerana ia bukan sekadar perbalahan politik yang biasa-biasa di mana-mana negara. Situasi yang dihadapi oleh etnik ini amat berbeza dengan senario yang berlaku di Mesir dan Syria yang menyaksikan perbalahan politik, antara pemerintah dan juga kebangkitan rakyat.

Apa yang berlaku di Myanmar bukan sekadar perbalahan antara dua agama, iaitu Islam dan Buddha, malah ia adalah isu penghapusan etnik yang dilaksanakan dalam skala yang lebih besar. Ini sedikit sebanyak mengulangi kemelut yang melanda Bosnia Hergezovina dan Chechnya suatu ketika dahulu.

Banyak pihak termasuk organisasi kebajikan dan persendirian terus berusaha menuntut tindakan antarabangsa yang tegas ke atas Myanmar. Mereka mendesak supaya Myanmar dikenakan sekatan ekonomi serta-merta atas tindakan mereka.

Saban hari, kita melihat di media massa dan media sosial, ratusan bangunan di perkampungan etnik Rohingya dibakar ketika pertempuran baharu meletus di wilayah bergolak itu dan paling tragis, wanita dan kanak-kanak tidak berdosa dibunuh dan dirogol.

Kekang jenayah berleluasa

Bak kata pepatah, sudah terang lagi bersuluh, pembunuhan beramai-ramai membabitkan etnik Rohingya di Myanmar harus dijadikan agenda utama ASEAN dan komuniti antarabangsa dalam usaha mengekang jenayah ini daripada terus berleluasa.

Situasi seumpama ini menyebabkan golongan etnik Rohingya terpaksa melakukan penghijrahan dengan menjadi pelarian ke negara-negara seperti Bangladesh, Pakistan, Emiriah Arab Bersatu, Arab Saudi, Thailand dan Malaysia.

Perkara ini tidak boleh dibiarkan berlarutan. Jangan sampai nasi sudah jadi bubur, barulah kita berebut-rebut mengambil tindakan yang sepatutnya.

Selain daripada itu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) digesa memainkan peranan secara serius membela etnik Rohingya di Myanmar. Misi keamanan yang disertai oleh gabungan pelbagai negara perlu dihantar segera bagi memastikan penindasan yang berlaku dapat dihentikan.

Inilah sebenarnya fungsi badan antarabangsa itu yang antara lain memainkan peranan penting bagi menyelamatkan etnik Rohingya daripada kekejaman tentera Myanmar sejak berpuluh tahun lalu.

Apa yang dikesalkan, hingga kini badan antarabangsa berkenaan gagal bertindak secara serius dalam menangani kekejaman tentera Myanmar terhadap etnik Rohingya di sana.

Sungguhpun terdapat badan antarabangsa dan NGO yang mengutuk kekejaman ini, mereka hanya petah memberi ucapan di mulut tanpa tindakan susulan dibuat. Rakyat dunia juga terus mempertikaikan Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon, yang hingga kini masih menutup mulut berhubung isu penindasan terhadap etnik Rohingya di Myanmar. Mengapa hingga kini masih senyap?

Bantah kekejaman terhadap etnik Rohingya

Adakah kerana warna kulit atau keturunan sehingga rintihan mereka tidak dipandang langsung? Sedangkan haiwan pun diberi perlindungan tetapi mengapa manusia ditindas dan diperlakukan sebegini rupa.

Terbaru ada beberapa cadangan dan saranan yang dilontarkan termasuklah menggesa pasukan Harimau Malaysia menarik diri daripada Piala AFF yang sedang berlangsung di Yangon, Myanmar, sebagai membantah kekejaman dan kezaliman dilakukan kerajaan negara itu terhadap etnik Rohingya.

Mufti Perlis, Prof Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin turut dipetik berkata, beliau dan rakyat negara ini yang prihatin terhadap apa yang berlaku di negara itu berharap kerajaan Malaysia dapat bertindak tegas.

Fikirlah wahai pembaca sekalian. Apalah ertinya sukan tanpa nilai kemanusiaan berbanding segala jenayah kemanusiaan yang dilakukan oleh kuasa pemerintah Myanmar.

Pemimpin dunia digesa menyatakan pendiriannya terhadap isu ini serta turut menyatakan bantahan tegas terhadap kerajaan Myanmar dengan secepatnya. Seliaan itu usaha yang lebih proaktif dan bersifat 'walk the talk' mestilah dilaksanakan supaya isu ini tidak terus buruk dan melunturkan nilai kemanusiaan dalam kalangan masyarakat dunia.

192 dibaca
Berita Harian X