X
Ahad, 27 November 2016 | 12:25pm

Batal hajat bersara, Amar Asyraf kembali berlakon

PELAKON, Amar Asyraf. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman
PELAKON, Amar Asyraf. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

KUALA LUMPUR: Pernah mahu meletakkan noktah dalam bidang lakonan namun Amar Asyraf menukar fikiran gara-gara permintaan teman rapat yang mahu dia terus beraksi.

Amar atau nama sebenarnya, Amar Asyraf Zailudin,30, berkata, apa pun dia menerima kritikan berikutan kenyataan membabitkan pengunduran daripada arena hiburan sebelum ini sekali gus mengakui ia kesilapan selaku manusia biasa.

"Memang saya pernah mengumumkan hendak mengundurkan diri dari bidang lakonan tetapi selepas berfikir panjang saya tidak sampai hati menolak permintaan teman rapat yang meminta saya menjayakan karya mereka.

"Ada dikalangan mereka yang beberapa kali mengajukan tawaran hingga sukar untuk saya menolak. Saya susah untuk mengecewakan orang dan inilah kelemahan saya.

"Sebagai manusia, kita juga tidak mampu menduga masa hadapan. Saya sendiri tidak menyangka akan kembali aktif sebagai pelakon memandangkan sebelum ini tumpuan saya lebih menjurus kepada tugasan di belakang tabir," katanya BH Online.

Sementara itu, Amar kini dalam sesi latihan untuk pementasan teater bangsawan yang berkisar asal usul kesultanan negeri Selangor berjudul Putera La Galigo dan bakal dipentaskan pertengahan bulan depan.

Kongsi pelakon itu lagi, selepas lama meninggalkan pentas teater kira-kira enam tahun lalu, dia mahu membiasakan diri untuk kembali persembahan langsung menerusi latihan intensif.

"Kekok juga rasanya kembali ke pentas teater kerana sudah lama tidak berbuat demikian. Berlakon di hadapan kamera dan teater adalah dua perkara yang berbeza, tetapi saya pasti memberikan hasil terbaik.

"Malah, watak saya dalam Putera La Galigo ini turut memerlukan saya bersilat. Jika dalam filem kita boleh digantikan dengan 'pelagak ngeri atau pelakon pengganti', senario amat berbeza dalam pementasan langsung," katanya.

Selain Amar, Bangsawan Putera La Galigo yang turut dibintangi Tasha Shila, Ainul Aishah, Datuk Ahmad Tarmimi, Ean Raja serta Akmal Ahmad bakal dipentaskan pada 17 hingga 19 Disember depan di Stadium Malawati, Shah Alam.

Berita Harian X