Ahad, 27 November 2016 | 3:27pm

JPN pandang serius dokumentari Al-Jazeera


KETUA Pengarah Pendaftaran Negara, Mohd Yazid Ramli. -Foto Irham Mohd Noor

KUALA LUMPUR: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) memandang serius dokumentari disiarkan stesen kabel Al Jazeera pada Jumaat lalu, yang antara lain mengaitkan pegawai JPN dengan sindiket penjualan bayi di negara ini.

Ketua Pengarah Pendaftaran Negara, Mohd Yazid Ramli, berkata pihaknya tidak akan berkompromi jika ada pegawai JPN terbabit dalam mengeluarkan sijil kelahiran kepada bayi yang diperdagangkan.

"Tindakan tegas akan diambil jika dakwaan ini didapati benar," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dokumentari bertajuk 'Malaysian Babies For Sales' yang disiarkan menerusi slot 101 East itu, antara lain mendakwa pemalsuan dokumen kelahiran bayi dibantu pegawai yang berkhidmat di JPN.

Mohd Yazid berkata, JPN mendaftar setiap kelahiran tanpa prejudis atau status anak berkenaan.

"Jika syarat permohonan dipenuhi dan dokumen dikemukakan teratur dan lengkap, ia akan diproses untuk pengeluaran sijil kelahiran," katanya.

Beliau berkata, setiap pendaftaran kelahiran akan disemak pegawai penyelia, merangkumi dokumen asal dan salinan, borang serta maklumat yang direkodkan dalam sistem.

"Jika semakan mendapati ia lengkap, teratur dan sempurna, sijil kelahiran akan dikeluarkan. Jika permohonan tidak lengkap atau tidak memenuhi prosedur, permohonan ditangguh sehingga dokumen dan maklumat dilengkapi.

"Jika wujud keraguan, permohonan akan dirujuk ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan untuk siasatan lanjut," katanya.

Berita Harian X