Sabtu, 6 Disember 2014 | 5:14am

Buruk baik harga terapung minyak

Mulai 1 Disember lepas, bahan-bahan petroleum seperti petrol dan diesel tak lagi dibagi subsidi. Dengan itu, tamatlah sejarah subsidi bahan petroleum yang kerajaan perkenalkan pada tahun 1983. Pada mulanya, subsidi ini dikenali sebagai subsidi pengangkutan. Harga petrol dan diesel sekarang ini terapung.

Naik atau turun harga ditentukan oleh kos minyak mentah di pasaran dunia dan oleh kadar tukaran mata wang ringgit. Harga baru seliter petrol RON97 adalah RM2.46, petrol RON95 RM2.26 dan diesel RM2.23. Ini bermakna RON97 turun sembilan sen, RON95 turun empat sen tetapi diesel naik tiga sen.

Banyak yang guna diesel hairan harga naik. Selama ini harga diesel lebih murah daripada petrol. Jadi pengguna jangka harga diesel akan turun lebih banyak daripada petrol. Tapi yang berlaku sebaliknya.

Alasan pihak berkuasa adalah kos hasilkan diesel lebih tinggi daripada petrol. Kunta Kinte tak tahulah betul atau tidak. Yang Kunta Kinte tahu, petrol dan diesel dihasilkan daripada minyak mentah yang sama dan guna kaedah pemprosesan yang serupa. Dalam bahasa Inggeris kaedah ini dipanggil 'fractionation.' Pusat Rujukan Persuratan Melayu, Dewan Bahasa dan Pustaka, terjemahkannya sebagai pemeringkatan.

Dalam proses itu, minyak mentah dipanaskan dalam menara pemeringkatan. Bahan kimia dalam minyak mentah bertukar jadi wap pada suhu yang berbeza dan disalurkan menjadi produk yang berlainan.

Paling awal jadi wap adalah gas dan ia naik ke atas kerana ringan. Ia kemudiannya ditukar menjadi cecair yang kita kenali sebagai gas petroleum cair atau LPG. Ia diikuti oleh nafta, petrol, minyak tanah, diesel, pelincir, minyak bahan api berat dan sisa.

Dalam sistem terapung, naik turun harga bergantung pada harga minyak mentah di pasaran dunia. - Gambar hiasan

Perlu tahu kaedah penetapan harga

Kunta Kinte belajar sikit sebanyak hal ini bila buat liputan industri minyak dan gas pada tahun 1970-an waktu PETRONAS runding perjanjian perkongsian pengeluaran (PSC) dengan syarikat-syarikat pengeluar minyak asing. Jadi dalam kita seronok harga petrol turun dan tak berapa seronok harga diesel naik, kita kena tahu sikit sebanyak kaedah penetapan harga dan hal-hal yang pengaruhi harga bahan-bahan petroleum.

Yang kita baca dalam surat khabar, harga baharu akan diumumkan setiap hujung bulan. Dalam sistem terapung ini, naik turun harga bergantung pada harga minyak mentah di pasaran dunia.

Harga pasaran dunia ditentukan oleh bekalan dan permintaan serta kadar tukaran mata wang. Contohnya, walaupun harga minyak mentah jatuh tapi kadar tukaran ringgit merosot, harga petrol dan diesel mungkin tak turun. Sebaliknya mungkin naik.

Kita kena maklum yang nilai ringgit agak lemah sejak kebelakangan ini. Pada hari harga baru minyak diperkenalkan, nilai ringgit jatuh paling banyak dalam sehari sejak Krisis Mata Wang Asia 1997-98.

Kadar tukaran ringgit jatuh kepada RM3.4300 bagi setiap dolar Amerika. Antara sebabnya ialah kejatuhan harga minyak mentah. Malaysia bergantung besar kepada eksport minyak dan gas untuk dapatkan tukaran asing. Sebelum itu, harga minyak kepada sawit dan getah dah merudum.

Ini kita kena faham dan ambil tahu sebab bebannya semua kita akan rasa. Bila nilai tukaran ringgit jatuh, kos import naik. Negara kita bergantung pada perdagangan antarabangsa. Naik turun kadar tukaran pengaruhi pendapatan negara, harga barangan dan kadar inflasi.

Dalam isu penentuan harga petrol dan diesel ini pun, aspek tukaran mata wang sangat penting. Ceritanya macam ini. Kita hasilkan minyak mentah mutu tinggi. Dalam bahasa Inggeris disebut 'sweet crude' atau 'light crude' yang rendah kandungan belerang. Harga minyak mentah jenis ini lebih mahal daripada minyak mentah berat (heavy crude).

Jadi apa yang kita buat ialah kita eksport minyak ringan kita yang mahal harganya dan import minyak berat yang lebih murah dari Asia Barat untuk kegunaan dalam negeri. Dengan cara itu kita buat untung yang lebih besar sambil jimatkan perbelanjaan.

Minyak ringan diimport oleh negara-negara maju yang ketat piawaian udara dan alam sekitarnya. Bahan-bahan petroleum yang dihasilkan daripada minyak mentah ringan lebih bersih dan bernilai premium. Satu hal lagi yang kita kena faham, harga petrol dan diesel juga dipengaruhi oleh dasar kerajaan. Di negara kita dulu kita amalkan subsidi. Sekarang kerajaan tarik balik subsidi.

Di Amerika Syarikat contohnya, mereka amalkan dasar minyak murah. Jadi, walaupun pendapatan purata mereka ikut Pariti Kuasa Membeli (Purchasing Power Parity/PPP) dekat tiga kali ganda lebih tinggi daripada kita, harga minyak mereka hampir-hampir dengan di negara kita.

Seliter minyak petrol di Amerika berharga kira-kira RM2.47. Hanya sesen lebih mahal daripada harga RON97. Jadi bagi mereka, harga minyak sangatlah murah berbanding kita.

Harga di Singapura lebih murah

Di Singapura pun macam itu juga. Walaupun pendapatan per kapita mereka 3.4 kali ganda daripada kita, harga minyak mereka pada kadar RM5.56 seliter sebenarnya lebih murah daripada kita. Kalau ikut nilaian PPP, harga minyak mereka sepatutnya lebih RM7 seliter.

Lagipun wilayah Singapura kecil dan sistem pengangkutan awamnya sangat baik. Negara kita besar. Banyak orang kita yang berulang alik ke tempat kerja sama jauh dengan memandu keliling pulau Singapura. Pengangkutan awam kita pula tak begitu baik.

Lagipun, kejatuhan harga minyak ini boleh jadi sementara saja. Misalnya, kalau musim sejuk di hemisfera utara sekarang teruk, keperluan minyak untuk pemanasan akan meningkat. Apabila permintaan meningkat, harga akan naik.

Jadi penurunan harga minyak petrol di negara kita mungkin sementara juga. Kalau harga dunia naik, pastilah harga di negara kita pun naik. Lagilah teruk kalau kadar tukaran duit kita terus lemah.

Ini semua kita kena ambil tahu dan cuba faham supaya kita tak terkejut dan tak naik darah kalau harga petrol dan diesel naik sebulan atau dua bulan dari sekarang. Kalau turun, syukur alhamdulillah, tapi kalau naik kita tahu sebab musababnya. Wallahuaklam.

Berita Harian X