Ahad, 27 November 2016 | 11:00pm

200 produk inovasi sertai MCY 2016

TIMBALAN Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr Abu Bakar Mohamad Diah (kanan) menyampaikan anugerah kepada pelajar yang cemerlang sambil diperhatikan Pengetua Waja Cemerlang, Aidura Mustafa (kiri) pada Majlis Perasmian Konvokesyen Waja Cemerlang di Hotel Gold Coast, Bukit Katil. - Foto Muhammad Zuhairi Zuber

MELAKA: Tahun Pengkomersialan Malaysia 2016 (MCY 2016) yang akan diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 8 dan 9 Disember ini dijangka menghimpunkan kira-kira 200 produk inovasi tempatan.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr Abu Bakar Mohamad Diah, berkata kementeriannya berharap setiap produk hasil Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) serta inovasi oleh institusi penyelidikan tempatan itu mampu menembusi pasaran komersial, seterusnya memberi manfaat kepada komuniti.

"Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) sentiasa optimis bahawa tiada yang gagal dalam setiap produk R&D serta inovasi menembusi ke arah pengkomersialan.

"Kita percaya, kegagalan sesuatu produk untuk dikomersialkan adalah disebabkan tiadanya strategi menjual serta bentuk pemasarannya," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan Anugerah Pencapaian Akademik kepada 36 murid TASKA Waja Cemerlang Bukit Rambai, Bukit Katil dan Rembia Perkasa di Gold Coast Melaka International Resort, di sini, hari ini.

Yang hadir sama, Pengetua TASKA Waja Cemerlang, Nur Aidura Mustafa.

Berita Harian X