Isnin, 28 November 2016 | 9:41am

Mercedes berang 'taktik kotor' Hamilton

LEWIS Hamilton berisiko kehilangan kontrak bernilai 30 juta pound (RM168 juta). - Foto AP

ABU DHABI: Lewis Hamilton berisiko kehilangan kontrak bernilai 30 juta pound (RM168 juta) bersama Mercedes selepas dia beberapa kali mengingkari arahan pasukan.

Selepas pemandu Britain itu kehilangan gelaran juara dunia kepada rakan sepasukan, Nico Rosberg, dia didakwa oleh ketua pasukan, Toto Wolff mencetuskan huru-hara dalam pasukan dengan tindakannya ketika perlumbaan.

Hamilton memperlahankan jenteranya selepas mendahului perlumbaan dengan harapan Rosberg yang berada di kedudukan kedua diberi tekanan oleh pemandu di belakangnya.

Dia berharap mampu mengatasi defisit 12 mata ke atas pemandu Jerman berkenaan dalam carta kejuaraan dunia, namun taktik berkenaan tidak berkesan apabila Hamilton masih kekurangan lima mata biarpun memenangi perlumbaan Grand Prix (GP) Abu Dhabi.

Dia kini berdepan tindakan daripada Mercedes dengan Wolff menegaskan pasukan itu akan memulakan langkah ke arah itu.

"Anarki tidak berkesan untuk mana-mana pasukan atau syarikat," kata Wolff. Ditanya sama ada Hamilton akan digantung, Wolff berkata: "Semuanya tidak mustahil".

Taktik Hamilton itu membuat pencabarnya berang dengan pemandu Ferrari, Sebastian Vettel berkata: "Ia sesuatu yang mengelirukan kerana pada penghujung perlumbaan Hamilton bermain taktik kotor".

Mercedes mengarahkan Hamilton untuk meningkatkan kelajuannya itu tetapi tidak diendahkan oleh pemandu berkenaan. Pasukan itu bimbang taktik Hamilton akan menyebabkan mereka gagal bergelar juara dunia kategori pengeluar dengan Vettel semakin hampir.

Sementara itu, Hamilton mempertahankan dirinya dengan berkata: "Saya tidak fikir saya melakukan sesuatu yang bahaya. Saya bersaing bagi memburu kejuaraan dunia dan saya mendahului perlumbaan. Saya mengawalnya dan itu adalah peraturannya.

"Saya secara dasarnya tidak melakukan sesuatu yang melukakan pasukan atau jenama. Namun, kami sudah memenangi kejuaraan dunia pengeluar, jadi ia adalah persaingan antara saya dengan Rosberg hari ini. Namun, mereka masih fikir perlu buat komen begitu," katanya.

Hamilton turut disokong oleh ketua pasukan Red Bull, Christian Horner yang menegaskan pemandu itu masih mengikut peraturan yang ditetapkan. - Agensi

Berita Harian X