Isnin, 28 November 2016 | 11:34am

Bella Dally ambil masa serasi dengan Syamsul


PELAKON, Bella Dally. - Foto Aziah Azmee

KUALA LUMPUR: Pelakon Bella Dally, 26, mengakui sukar mendapatkan keserasian dengan pelakon gandingannya, Syamsul Yusof dalam filem terbaharu arahan Syafiq Yusof, Desolusi berikutan sikap kurang bercakap aktor berkenaan.

Bella atau nama penuhnya Nabilah Ali Dally berkata, mereka mengambil masa kira-kira tiga hari untuk lebih mengenali karektor masing-masing hingga akhirnya keserasian dapat dicapai.

"Mula-mula agak susah sedikit untuk serasi. Saya dimaklumkan dia memang tidak banyak bercakap serta kurang bergaul dengan pelakon wanita. Jadi saya faham dan menghormati pendiriannya.

"Syamsul sendiri pun ada memberitahu saya mengenai sikap semula jadi yang sememangnya begitu. Saya biarkan saja. Hanya pada hari ketiga kami terus mendapat keserasian itu. Dalam sesebuah karya, keserasian sangat penting bagi menghidupkan sesebuah lakonan.

"Mengenai situasi lain pula, awalnya saya sedikit gementar apabila berpeluang berkongsi layar dengan seorang pelakon dan pengarah yang hebat. Pengalaman ini sangat bermakna ," katanya kepada BH Online.

Bella berkata demikian bagi mengulas senario bekerja dengan Syamsul selaku aktor serta sutradara muda yang banyak memenangi anugerah ketika ditemui di tayangan perdana filem Desolusi.


PENGARAH, Syafiq Yusof (dua dari kanan) bersama pelakon, Syamsul Yusof, Pekin Ibrahim dan Bella Dally pada sidang media tayangan filem Desolasi di Damansara, baru-baru ini. - Foto Aziah Azmee

Sementara itu, Bellla berkata, menghayati karektor sebagai Maya memberikan cabaran tersendiri apabila pada masa sama perlu membayangkan suasana yang terjadi dalam sesebuah babak.

"Banyak babak saya menggunakan teknik pengimejan berkomputer (CGI) sekali gus memerlukan saya bermain dengan imaginasi memandangkan elemen sampingan di dalam layar nanti hanya akan dicipta selepas babak dirakamkan.

"Alhamdulillah, bagi saya Syafiq pula seorang pengarah yang bagus. Dia banyak membantu saya dalam lakonan. Dia juga mempunyai visual yang jauh dan tahu apa yang diinginkan dalam karyanya," ujar isteri kepada aktor Nazim Othman itu.

Desolusi yang turut membariskan Datuk Jalaluddin Hassan, dan Pekin Ibrahim bakal ditayangkan bermula 8 Disember ini.

Berita Harian X