Isnin, 28 November 2016 | 11:42pm

Tentera bom kubu pemberontak di selatan Filipina

FOTO hiasan - Foto AFP

MANILA: Tentera Filipina menggugurkan bom daripada pesawat selain melancarkan tembakan meriam secara berterusan ke atas kubu pemberontak di bahagian selatan, hari ini ketika operasi mengepung militan yang setia kepada kumpulan Daesh, masuk hari ketiga dengan sejumlah 35 gerila terbunuh.

Menurut jurucakap tentera, Major Filemon Tan, beberapa pesawat buatan Amerika Syarikat (AS), OV-10B, berlegar-legar di ruang udara sebelum menjunam dan menggugurkan bom ke atas kedudukan kubu milik kumpulan pemberontak Maute yang menguasai wilayah Lanao.

"Sehingga tengah hari pada hari ini (semalam), serangan berterusan di kawasan dipertingkatkan ketika tentera melancarkan operasi pembersihan," kata Tan dan menambah 13 tentera cedera dalam serangan itu yang bermula sejak Sabtu lalu.

Sementara itu, beribu-ribu penduduk melarikan diri ketika beratus-ratus tentera disokong kereta perisai bergerak untuk mengusir pemberontak.

Kerajaan Filipina menyalahkan Kumpulan Maute ke atas insiden pengeboman pada 2 September lalu di kawasan pasar iaitu tempat asal Presiden Rodrigo Duterte yang membunuh 14 orang dengan berpuluh-puluh lagi cedera.

Beberapa anggota disyaki dari kumpulan itu ditahan sebulan kemudian dan menurut menteri pertahanan, klip video ditemui dan ia menunjukkan mereka melafazkan taat setia kepada perjuangan Daesh. - Agensi

Berita Harian X