Selasa, 29 November 2016 | 12:08am

Johan As'ari tidak "bergoyang", masih relevan

KUALA LUMPUR: Pernah dianggap antara aktor pelapis yang mampu menggoncang industri hiburan dengan lakonan berkarakter, entah mana silapnya, Johan As'ari, 29, kini bagai terpinggir.

Andai lima tahun dulu, peminat ternanti-nanti aksinya dalam drama rantaian Juvana hingga jejaka ini meraih trofi Artis Baharu Lelaki Popular pada Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 2011, hari ini, Johan umpama hilang arah.

Tahun lalu, Johan berkelana hingga ke India selama lebih sebulan untuk mendalami ilmu agama. Tanpa produk baharu secara konsisten, netizen menganggap Johan sudah tidak aktif lagi dalam dunia seni biarpun berbakat besar.

Menemui Johan atau nama sebenarnya, Johan Ariff As'ari, pelakon ini menyangkal dakwaan dirinya sudah tidak lagi relevan atau popularitinya semakin merudum.

Buktinya, kata Johan, lakonannya dalam drama Juvana 3 yang dimuat naik di laman sosial, Facebook, September lalu, mencatat 400,000 tontonan.

Baginya, ini adalah petunjuk bahawa dirinya masih relevan dan mampu mengumpan peminat biarpun dalam kebanjiran pelakon baharu.

"Jika anda sedar, selepas Juvana 3 ditayangkan dalam talian pada pada September lalu, sebanyak 400,000 tontonan direkodkan. Jadi apakah relevan andai populariti saya dikatakan sudah jatuh?

"Malah, saya fikir diri ini lebih berprestij kerana orang di luar sana sanggup menonton lakonan saya secara curi-curi dalam media sosial.

"Saya percaya jika peminat berjumpa dengan saya, mereka tidak berani menegur kerana saya pelakon disegani," katanya kepada BH Plus.

JOHAN mengaku memilih watak yang ditawarkan agar dapat mengekalkan momentum dan kualiti hasil lakonannya- Foto Halimaton Saadiah

Johan penah dianggap antara aktor pelapis yang mampu menggoncang industri hiburan dengan lakonan berkarakter. - Foto Khairunisah Lokman

Mahu trofi iktiraf lakonan

Tambah Johan, dia bersyukur kerana peminat masih memberi sokongan kepadanya. Ini membuatkan Johan lebih bersemangat untuk terus mengasah bakat menjadi pelakon terbaik.

Bagi aktor yang memulakan kariernya melalui drama Penunggu Gunung Raya yang ditayangkan pada tahun 2010, dia mahu setiap lakonan yang dibawa memberi impak besar kepada penonton.

"Sebagai pelakon, saya perlu memberi keuntungan maksimum kepada penerbit. Apabila karya lakonan saya ditonton ramai, saya akan berbangga.

"Alhamdulillah, itu yang berlaku pada setiap produk lakonan saya. Saya dilihat memberi impak kepada pelbagai pihak," katanya.

Sementara itu, Johan mengaku memilih watak yang ditawarkan agar dapat mengekalkan momentum dan kualiti hasil lakonannya.

"Selain skrip, saya juga memilih pengarah mana yang bekerja dengan saya.

"Ini kerana saya belum mempunyai anugerah dalam bidang lakonan. Saya perlukan pengarah yang bagus untuk sampai ke tahap itu.

"Alhamdulillah, saya dapat rasakan sehingga kini saya bertuah dapat bekerjasama dengan pengarah yang bagus. Saya pasti akan menantikan tuah dan rezeki untuk menggondol trofi dalam bidang lakonan, suatu hari nanti," katanya.

Dalam perkembangan lain, Johan bakal terbabit dengan penggambaran drama bagi slot Lestari, TV3 bersama aktres Diana Danielle.

JOHAN As'Ari penah memenangi trofi Artis Baharu Lelaki Popular pada Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 2011 - Foto Halimaton Saadiah
PELAKON, Johan As'Ari - Foto Halimaton Saadiah
Berita Harian X