Selasa, 5 Ogos 2014 | 1:56pm
Pengacara, Sherry Alhadad dan Zulin Aziz. - Foto Munira binti Abdul Ghani

Tak pernah cemburu

Andai tahun lalu, dua personaliti ini menjadi penonton program Aidilfitri yang disiarkan stesen televisyen (TV) tempatan. Siapa sangka, Syawal kali ini, mereka pula beraksi dan menghiburkan peminat dengan aksi bersahaja.

Duo yang makin melonjak populariti, Sherry Al Hadad dan Zulin Aziz bagai tidak percaya dengan putaran waktu dan pengalaman yang dilalui sejak ligat di persada seni.

"Inilah namanya rezeki, kesyukuran yang tinggi dipanjatkan kepada Allah untuk semua ini," ucap Sherry kepada HIP pada sesi fotografi istimewa sempena Aidilfitri di Balai Berita, baru-baru ini.

Sherry berkata, peluang yang lama dinantikan itu bagaimanapun tidak datang bergolek. Sebaliknya, segala-galanya menguji kesabaran, selain menuntut usaha gigih tanpa mengira penat.

Menurutnya, sejak diberi peluang muncul pada Anugerah Skrin TV3 lalu, graf kerjaya mereka melonjak dengan pelbagai tawaran diterima.

"Jujurnya, kami tidak sangka semua ini, tetapi bersyukur segala tawaran bagai 'cantik tersusun' diterima satu persatu," katanya.

Ada pihak cuba uji persahabatan

Zulin senada dengan pasangannya yang juga bekas pensyarah ketika beliau mengikuti pengajian di Akademi Seni Budaya dan Warisan (ASWARA).

Tambahnya, keserasian antara mereka terus dirasakan biarpun pada mulanya masing-masing bergerak sendirian.

"Kami bukan pasangan duet tetapi kami dipasangkan. Kami bersyukur, gandingan ini menjadi terutama dalam bidang pengacaraan.

"Saya dan Sherry masing-masing membina nama sendiri dalam bidang lakonan. Bagaimanapun, kami sedia menerima undangan mengacara majlis secara solo," jelasnya.

Selepas Anugerah Skrin, gandingan Sherry dan Zulin sebagai pengacara utama pada Festival Drama Kuala Lumpur turut mendapat pujian ramai.

Terbaharu, dua nama ini diberi kepercayaan mengendalikan program hiburan popular TV3, Melodi bersama Awal Ashaari.

Tambah Sherry, mereka saling ingat-mengingati, selain sentiasa percaya dan berbincang jika ada perkara berbangkit.

"Kami tahu bukan mudah apabila kita sudah dilihat sebagai duet atau pasangan, memang tidak dinafikan ada yang cuba menguji persahabatan kami," jelasnya.

Berita Harian X