X
Selasa, 29 November 2016 | 2:13pm

JKNK terima 17 ambulans

KOTA BHARU: Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) menerima 17 ambulans bernilai RM8.5 juta daripada Kementerian Kesihatan untuk ditempatkan di seluruh klinik kesihatan di negeri ini.

Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Kesihatan Awam JKNK, Dr Izamin Idris, berkata ambulans berkenaan akan diserahkan kepada klinik kesihatan daerah bagi menggantikan ambulans lama yang dilupuskan.

"Kini ada 83 ambulans di hospital di negeri ini, dan 60 lagi di klinik kesihatan. Dengan penambahan 17 ambulans itu, ia akan meningkatkan lagi mutu perkhidmatan," katanya pada sidang media selepas majlis penyerahan ambulans dan peralatan perubatan kepada JKNK di sini, hari ini.

Ambulans jenis Toyota Hiace yang berharga RM250,000 setiap satu, dilengkapi kelengkapan perubatan yang juga bernilai RM250,000.

Sementara itu, Penolong Setiausaha Kanan Bahagian Perolehan dan Penswastaan Kementerian Kesihatan, Tan Jye Theng, berkata pada tahun hadapan, dijangka sebanyak 500 ambulans bernilai lebih RM200 juta akan diagihkan kepada hospital dan klinik di seluruh negara.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X