Selasa, 29 November 2016 | 7:32pm

Rosberg ramal saingan musim depan 'lebih bagus'

Pemandu Mercedes AMG Petronas, Nico Rosberg tiba KL Convetion Centre diraikan oleh kakitangan Petronas selepas muncul juara F1di Abu Dhabi Ahad lalu. - Foto Hasriyasyah Sabudin

KUALA LUMPUR: Juara dunia Formula Satu (F1) yang baharu, Nico Rosberg menjangkakan saingan musim depan akan terus menjadi sesuatu 'yang bagus' terutama membabitkan rakan sepasukannya, Lewis Hamilton.

Kedua-dua pelumba Mercedes itu melalui hubungan yang tegang sepanjang tiga tahun lalu dan pada saingan terakhir di Grand Prix Abu Dhabi ia sampai ke kemuncak selepas insiden pada penamat perlumbaan.

"Dalam kes saya, saya mengikut peraturan ditentukan pasukan dan perkara ini sudah berlaku sejak tiga tahun lalu.

"Kami adalah pemandu, pejuang. Dia akan cuba buat apa saja dan ia tidak perlu dibincangkan lagi," kata Rosberg ketika sesi temubual bersama media di sini sebentar tadi.

Hadir sama, ketua pasukan Mercedes, Toto Wolff.

Rosberg muncul juara dunia buat kali pertama selepas perlumbaan di Abu Dhabi dan dia merampas kejuaraan itu daripada rakan sepasukannya, Hamilton dalam saingan disifatkan antara paling sukar tahun ini.

Rosberg ketika ditanya mengenai saingan musim depan dengan rakan sepasukannya itu menyifatkan ia akan menjadi neutral.

"Kami sudah berkawan sejak usia kami 13 tahun, tiga tahun kami menjadi pencabar utama, ia sesuatu yang hebat dan ia akan terus menjadi sesuatu yang bagus," katanya.

Bagi Wolff pula kemenangan ketiga berturut-turut pasukan itu dalam kategori pemandu dan pengeluar adalah sesuatu yang hebat walaupun Rosberg mengakui bos pasukannya itu sentiasa pening kepala untuk menguruskan kedua-dua pemandu.

"Apabila kami sudah ada dua juara dunia, ia lebih senang, adalah bagus Nico sudah dapat apa yang dia mahukan."

(Saingan antara pemandu) Itu akan berterusan dan adalah berbaloi untuk melaluinya," katanya yang tidak mahu mengulas lanjut mengenai tindakan Hamilton di Abu Dhabi.

Berita Harian X