Selasa, 29 November 2016 | 9:04pm

Media Prima susun semula operasi percetakan, fokus inisiatif digital

KUALA LUMPUR: Media Prima Bhd mencatatkan keuntungan sebelum cukai RM43.5 juta bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2016, berbanding RM144.3 juta pada tempoh sama tahun lalu.

Ia diraih daripada pendapatan berjumlah RM970.4 juta berbanding RM1.06 bilion pada tempoh sama 2015.

Bagaimanapun, selepas ditolak perkara luar biasa sekali sahaja iaitu kos penstrukturan semula operasi kilang cetak sebanyak RM104.6 juta dan kos permulaan inisiatif baharu RM12.7 juta, kumpulan merekodkan kerugian bersih RM71.6 juta berbanding keuntungan bersih RM106.7 juta.

Pengerusi Kumpulan Media Prima, Datuk Seri FD Iskandar, berkata walaupun di dalam keadaan pasaran semasa yang lemah, kumpulan berjaya mencatat keputusan sederhana melalui perniagaan media bersepadunya.

Beliau berkata, untuk tempoh kajian, platform media pengiklanan luar rumah (OOH) dan radio Media Prima mencatat pertumbuhan pendapatan yang memberangsangkan.

"Ini jelas menggambarkan keupayaan Media Prima untuk kekal berdaya tahan dengan pelaksanaan strategi perniagaan yang baik dan kerjasama industri pintar, terutama semasa ketidaktentuan pasaran yang dihadapi sekarang," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, Media Prima kekal komited untuk memberikan nilai kepada pemegang saham dan kumpulan berada dalam kedudukan wang tunai yang kukuh, di sebalik penyusunan semula serta pelaburan dalam inisiatif baharu.

"Media Prima mengumumkan dividen interim satu peringkat yang kedua sebanyak 2.0 sen sesaham biasa bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2016. Jumlah dividen yang diisytiharkan bagi tahun kewangan semasa berakhir 30 September 2016 adalah 4.0 sen," katanya.

Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima, Datuk Seri Amrin Awaluddin, berkata kumpulan sentiasa mengkaji semula operasi perniagaannya untuk memperbaiki struktur kos dan mengembangkan kehadiran digital secara aktif sebagai antara strategi jangka sederhana kumpulan bagi memenuhi permintaan pengguna.

"Penyusunan semula operasi loji percetakan kami, misalnya, adalah untuk mengurangkan kapasiti percetakan dan mengoptimumkan kecekapan kos.

"Ini selaras dengan penurunan edaran seluruh industri akhbar (fizikal) dan peningkatan ketara bilangan pembaca versi elektronik, seperti yang dicatatkan oleh New Straits Times, BH dan Harian Metro sejak Januari 2016," katanya.

Dalam tempoh kajian, Big Tree Outdoor (BTO), syarikat pengiklanan OOH kumpulan dan Rangkaian Radio Media Prima (RRMP), masing-masing merekodkan pendapatan RM115.9 juta dan RM49.2 juta, berbanding RM112.0 juta dan RM47.4 juta pada tempoh sama sebelumnya.

OOH dan RRMP juga mencatat pertumbuhan keuntungan bersih (PAT) yang memberangsangkan, masing-masing tiga peratus dan 18 peratus.

Rangkaian Televisyen Media Prima (RTMP) mencatat kenaikan pendapatan kecil walaupun berdepan perbelanjaan iklan (ADEX) lemah industri, iaitu RM466.8 juta berbanding RM463.1 juta pada tempoh sama 2015.

CJ Wow Shop, milik RTMP, memainkan peranan penting dalam mengimbangi penyusutan pendapatan pengiklanan yang mana ia menyumbang hampir RM40 juta sejak dilancarkan pada April 2016.

Sementara itu, persekitaran operasi mencabar memberi impak terhadap platform perniagaan percetakan dan penciptaan kandungan Media Prima yang mana kedua-duanya mencatatkan penurunan dalam hasil dan PAT.

Dalam tempoh kajian, pendapatan platform percetakan menurun 22 peratus berbanding tempoh sama sebelumnya dan menanggung LAT sebanyak RM125.4 juta, disebabkan langkah penstrukturan semula.

ADEX mencatat penurunan 21 peratus berbanding tempoh sama sebelumnya serta penurunan jualan akhbar adalah sebanyak 26 peratus.

Sekiranya perbelanjaan pengstrukturan tidak diambil kira, platform percetakan mencatat LAT sebanyak RM20.8 juta berbanding PAT RM24.2 juta pada tahun 2015.

Unit penciptaan kandungan Media Prima juga mencatatkan penurunan pendapatan lima peratus berbanding tempoh sama sebelumnya dan PAT sebanyak RM7.7 juta, disebabkan oleh penjualan yang lebih rendah.

Berita Harian X