Selasa, 29 November 2016 | 10:16pm

Kaji semula garis panduan, undang-undang kurang praktikal - REHDA


Presiden Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA), Datuk Seri FD Iskandar.

KUALA LUMPUR: Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) meminta kerajaan mengkaji semula peruntukan polisi, undang-undang, garis panduan dan prosedur yang kurang praktikal dalam industri perumahan bagi memastikan pembinaan perumahan negara kekal efisien.

Presidennya, Datuk Seri FD Iskandar, berkata dalam keadaan pasaran yang agak perlahan, REHDA mengharapkan kerajaan dan pihak berkaitan memahami kesukaran pemaju dan tidak mengenakan caj tambahan yang akan membawa kepada peningkatan kos.

"Kami di REHDA bersedia untuk berbincang dengan kerajaan supaya kita dapat sama-sama mencari jalan terbaik bagaimana kos pembangunan dapat dikurangkan bagi kebaikan semua pihak terutama pembeli," katanya berucap pada majlis makan malam tahunan di sini, malam ini.

Majlis berkenaan turut dihadiri Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar.

FD Iskandar berkata, sebelum sesuatu polisi dan dasar baharu diperkenalkan atau dipinda, kerajaan juga diharap dapat mengambil kira kedudukan pemaju terutama pemaju perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

"Ini kerana mereka adalah majoriti pemain industri yang kebanyakannya menjalankan pembangunan di kawasan yang agak terpinggir dan akan paling terkesan sekiranya sesuatu langkah yang bersifat negatif dikenakan ke atas industri ini," katanya.

Berita Harian X