Rabu, 30 November 2016 | 12:06am

Turki ada banyak alternatif selain EU - Erdogan

Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan.

ISTANBUL: Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan berkata negaranya masih belum berputus asa untuk menyertai Kesatuan Eropah (EU) tetapi mempunyai banyak alternatif lain jika proses itu terhenti tanpa penyelesaian.

"Kami belum menutup buku Kesatuan Eropah ketika ini. Tetapi perlu diingat Turki mempunyai banyak alternatif lain," katanya berucap pada Persidangan Persatuan Ahli Parlimen Al-Quds anjuran Perhimpunan Besar Turki bertema Al-Quds dan Cabaran Semasa.

Persidangan tahunan itu yang kali pertama diadakan di Turki, antara lain menghimpunkan delegasi dari beberapa negara yang antara lain bertujuan membantu pembentukan Parlimen Al-Quds.

Minggu lalu, Parlimen Eropah menyokong pembekuan rundingan keahlian Turki, sehingga membangkitkan kemarahan Erdogan yang mengancam untuk bertindak balas dengan melanggar perjanjian membendung aliran pelarian ke Eropah.

Perjanjian itu sebahagian besarnya membantu mengurangkan gelombang pendatang sejak ia ditandatangani pada Mac lalu. - AFP

Berita Harian X